Skip to main
Logo Malaysiakini

MKN nasihati MP - Hati-hati ketika muat naik gambar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Majlis Keselamatan Negara (MKN) mengeluarkan garis panduan untuk wakil rakyat yang menjalankan tugas ketika perintah kawalan pergerakan (PKP), termasuk nasihat dalam perkongsian gambar.

Dalam menasihati wakil rakyat supaya bergerak bersama tidak melebihi dua orang, pihak tersebut juga tidak dibenarkan untuk memuat naik gambar di media sosial yang boleh menimbulkan keresahan rakyat.

Ahli parlimen juga dilarang melakukan sebarang sidang media, membuat ucapan, memakai sut perlindungan diri (PPE), mengadakan majlis secara besar-besaran dan bersalaman.

Pihak tersebut juga hanya dibenarkan untuk memantau keadaan di kawasan masing-masing ketika menyalurkan bantuan kebajikan.

Setiap program tidak boleh melebihi 60 minit mereka turut digalakkan untuk mengehadkan aktiviti selama 10 minit sahaja.

Ahli parlimen turut diarahkan untuk menjaga penjarakan sosial sekurang-kurangnya 1 meter, bagi menjaga kebersihan diri dan memakai topeng muka sekiranya kurang sihat.

Arahan berkenaan disediakan oleh MKN dan disampaikan oleh ketua pentadbir parlimen Kamis Samin dalam surat bertarikh semalam.

Sebelum ini, beberapa hantaran di media sosial oleh ahli politik kerajaan telah mencetuskan kemarahan orang awam kerana didapati tidak melakukan penjarakan sosial dan memakai PPE tanpa sebarang keperluan.

Antara mereka, ketika Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Zuraida Kamaruddin yang mengenakan PPE penuh dengan label “menteri” di dahi ketika melakukan program pembasmian kuman.

Zuraida dikritik kerana dikatakan membazir pakaian perlindungan tersebut semata-mata untuk publisiti.

Selain itu, turut menjadi kecaman adalah Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali yang dilaporkan melanggar arahan penjarakan sosial setelah menghadiri jamuan tengah hari di Lenggong Perak.

Noor Azmi kemudian membuat permohonan maaf susulan kejadian tersebut.