Skip to main
Logo Malaysiakini

'M'sia mungkin tawar diri sertai fasa 3 percubaan vaksin Covid-19 China'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Malaysia mungkin akan menawarkan diri untuk menyertai percubaan vaksin Covid-19 fasa ketiga yang sedang dibangunkan China, jika ia menunjukkan keputusan memberangsangkan.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata, pakar dari China yang kini berada di Malaysia memberitahu Kementerian Kesihatan (KKM) bahawa negara itu sedang berada dalam fasa kedua percubaan klinikal vaksin, dengan keputusannya dijangka akan diperolehi hujung tahun ini.

"Jika keputusannya positif, mereka akan masuk ke fasa tiga dan Malaysia mungkin akan menawarkan diri untuk jalankan penyelidikan klinikal di sini, tetapi kita perlu melihat keputusan daripada percubaan fasa kedua (terlebih dulu)," katanya ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Terdahulu, beliau memaklumkan Malaysia sedang berbincang dengan beberapa negara, termasuk dua syarikat dari China, berkenaan vaksin Covid-19.

Bagaimanapun, katanya lagi, masih terlalu awal untuk mendedahkan apa-apa perincian berkenaannya.

Lapan pakar perubatan China tiba di Malaysia pada 18 April lalu untuk berkongsi kepakaran dan pengalaman dalam membendung wabak tersebut.

Pada masa ini, Malaysia merekodkan bilangan jangkitan baru di bawah angka 100 untuk lapan hari berturut-turut, dengan 64 peratus pesakit telah sembuh.

Bagaimanapun pakar sebelum ini memberi amaran bahawa selagi vaksin belum ada, orang ramai perlu terus mengamalkan penjarakan sosial untuk mengelakkan jangkitan baru, walaupun setelah perintah kawalan pergerakan ditamatkan atau dilonggarkan.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.