Skip to main
Logo Malaysiakini

Zafrul: Strategi pemulihan ekonomi akan dibentang dalam masa terdekat

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kewangan bersama dengan Unit Perancang Ekonomi Jabatan Perdana Menteri (UPE) telah memulakan sesi perbincangan dengan pihak berkepentingan pelbagai industri dan sektor untuk mendapatkan maklum balas yang berkaitan dalam usaha memulih dan membangunkan ekonomi negara.

Menterinya Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz berkata ini susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin bahawa kerajaan akan merangka pelan pemulihan ekonomi jangka pendek, sederhana dan panjang menyeluruh yang bertujuan memastikan aktiviti ekonomi dapat dipulihkan semula dengan pantas selepas tempoh Perintah Kawalan Pergerkan (PKP) berakhir.

“Strategi pemulihan dan pembangunan ekonomi ini akan dibentangkan untuk pertimbangan Majlis Tindakan Ekonomi dan juga Kabinet dalam masa terdekat.

“Dalam masa terdekat, tumpuan Kementerian Kewangan adalah kepada usaha jangka pendek dan sederhana, yang perlu diambil dalam tempoh PKP dan selepas tamatnya PKP demi memastikan kelangsungan ekonomi serta kesejahteraan rakyat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Zafrul berkata kerajaan juga akan merangka strategi jangka panjang yang merangkumi langkah-langkah untuk melestarikan teras ekonomi, alam, dan sosial Malaysia dengan teknologi digital akan memainkan peranan penting dalam memastikan kelestarian dan daya saing negara pada masa hadapan.

Menurutnya, antara objektif yang di sasarkan adalah untuk membina keupayaan perniagaan dan individu, menanamkan keyakinan dalam kalangan pengguna serta memperkasakan persekitaran pelaburan yang lebih positif untuk masa hadapan.

Beliau berkata cadangan pelan pemulihan ekonomi itu akan menjadi penghubung dan pelengkap kepada pelbagai pakej rangsangan ekonomi yang telah diumumkan kerajaan sebelum ini untuk melindungi rakyat, menyokong perniagaan dan memperkukuh ekonomi ekoran penularan pandemik Covid-19.

“Kementerian Kewangan sedia maklum akan cabaran normal baharu yang bakal dihadapi dalam keadaan persekitaran dunia pasca Covid-19” katanya.

- Bernama