Skip to main
Logo Malaysiakini

Cabaran guru di pedalaman Sabah laksanakan PdPc dalam talian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Warga pendidik, khususnya yang mengajar di sekolah luar bandar dan pedalaman berhampiran daerah Semporna, berdepan cabaran untuk memastikan sesi Pembelajaran dan Pemudahcaraan (PdPc) dalam talian berjalan lancar sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP).

Ini kerana terdapat beberapa pelajar mereka terutama yang tinggal di kawasan pulau dan ladang tidak mempunyai capaian internet yang cekap selain kekangan kemudahan teknologi seperti komputer, telefon pintar atau peranti mudah alih lain yang boleh memudahkan proses penyampaian sesi PdPc dalam talian.

Seorang guru, Aslina Ali, 33, berkata ada pelajarnya yang tinggal di ladang terpaksa mengambil masa tiga ke empat hari untuk menghantar tugasan.

Menyesuaikan pembelajaran dengan kekangan itu, Aslina memberi masa selama seminggu untuk pelajarnya menyiapkan tugasan sebelum beliau membuat semakan pada Sabtu dan Ahad.

“Saya juga meminta pertolongan daripada pelajar dalam kumpulan WhatsApp kelas untuk memaklumkan tugasan sekolah kepada rakan yang tinggal berhampiran, yang tidak mempunyai kemudahan telefon pintar atau tidak dapat mengakses internet," katanya.

Selain kekangan dari pihak peajar, Aslina yang mengajar mata pelajaran Geografi di sebuah sekolah menengah kira-kira 10 kilometer dari pekan Semporna turut mengalami masalah capaian internet rendah ketika memuat naik pautan tugasan untuk lebih 200 pelajar yang dikendalikannya.

Meskipun begitu, Aslina tetap komited menjalankan sesi PdPc dalam talian menggunakan pelbagai aplikasi termasuk WhatsApp, Telegram dan Google Classroom.

Pengalaman sama turut dikongsikan Nur Faraheka Abdullah, 28, seorang guru Bahasa Inggeris di sebuah sekolah rendah dalam ladang kira-kira 89 kilometer dari bandar Lahad Datu.

“Jadi, saya menelefon murid terbabit untuk memaklumkan tugasan sekolah berdasarkan buku teks. Bagi murid sebegini, saya akan menyemak tugasan mereka selepas sesi persekolahan dibuka nanti," katanya.

Seorang lagi guru, Siti Aminah Amir, 28, yang mengajar mata pelajar Pendidikan Islam di sebuah sekolah rendah terletak di pedalaman Kunak berkata, penglibatan murid dalam sesi PdPC dikendalikannya amat terhad berikutan tidak semua mereka mempunyai akses internet.

Siti Aminah berkata beliau menggunakan sistem pesanan ringkas untuk memberi tugasan kepada murid-muridnya menggunakan buku latihan serta buku teks sebagai rujukan .

- Bernama