Skip to main
Logo Malaysiakini

Orang terkandas di kampung boleh mohon pulang mulai esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KORONAVIRUS | Permohonan untuk pergerakan rentas negeri bagi mereka yang terkandas di kampung halaman ekoran penguatkuasaaan perintah kawalan pergerakan (PKP) boleh dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia bermula esok.

Menurut Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Polis Diraja Malaysia (PDRM), Huzir Mohamed, semua permohonan dan kebenaran akan dibuat melalui aplikasi Gerak Malaysia yang boleh dimuat turun di Google Playstore, Apple App Store dan Huawei App Gallery.

Bagaimanapun, katanya, mereka yang tidak mempunyai kemudahan aplikasi Gerak Malaysia boleh membuat permohonan secara bertulis di balai polis berdekatan.

Namun, menurut Huzir, keutamaan perjalanan tetap akan diberikan kepada pengguna aplikasi Gerak Malaysia.

Tambahnya lagi, mereka yang membuat permohonan pada 26 April haruslah mengemas kini permohonan pada 29 April untuk mengesahkan destinasi perjalanan.

“Seterusnya, pada 1 Mei mereka bolehlah menyemak status permohonan dalam talian tersebut.

“Tempoh pergerakan antara negeri yang dibenarkan adalah antara 1 hingga 3 Mei dan pengguna jalan raya dikehendaki merancang perjalanan mereka mengikut syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Hanya tandas awam beroperasi

Pada 23 April, Menteri Kanan (Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob memaklumkan kebenaran perjalanan rentas negeri hanyalah untuk mereka yang terperangkap di kampung. 

Kebenaran itu diberikan ekoran ramai orang terkandas selama lebih sebulan gara-gara pulang ke kampung sebelum atau sebaik perintah kawalan pergerakan (PKP) diumumkan 16 Mac lalu.

Kebenaran itu, katanya, berbeza dengan kebenaran pulang kepada para pelajar di kampus yang boleh dibenarkan untuk dibawa pulang beramai-ramai dengan menaiki bas memandangkan status kesihatan mereka diketahui oleh pihak pentadbir.

Selain itu, Huzir mengingatkan mereka yang akan menggunakan lebuh raya Plus, sepanjang PKP ini tiada kemudahan makanan disediakan di kawasan rehat dan rawat (R&R) serta surau-surau juga akan ditutup, dan hanya fasiliti tandas awam sahaja yang dibenarkan beroperasi.

Pengguna lebuh raya juga tak dibenarkan melakukan sebarang aktiviti berkumpulan atau aktiviti solat secara berjemaah di kawasan R&R, termasuklah di dalam mana-mana bangunan, kawasan lapang, tempat letak kenderaan atau lain-lain.

Kawasan meletak kenderaan pula hanya boleh digunakan untuk tujuan rehat, manakala pemandu tidak dibenarkan keluar dari kenderaan kecuali untuk ke tandas.

Sementara itu, kata Huzir lagi, stesen minyak akan hanya beroperasi antara jam 6 pagi sehingga 12 tengah malam di sepanjang lebuh raya.

Beliau turut mengumumkan bahawa kenyataan media akan dikeluarkan hari ini berhubung tatacara pendaftaran aplikasi Gerak Malaysia, diikuti satu lagi sidang media pada 29 April mengenai pergerakan mengikut negeri bagi memastikan perjalanan mereka yang terlibat berjalan dengan lancar serta teratur.