Skip to main
Logo Malaysiakini

Mufti: Pelaksanaan sembahyang Jumaat 4 orang perlu jaminan KKM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pelaksanaan sembahyang Jumaat minimum empat orang perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa serta jaminan keselamatan daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kata Mufti Kelantan Mohamad Shukri Mohamad.

Mohamad Shukri berkata, para mufti sebelum ini sepakat bahawa sembahyang Jumaat di masjid tidak diadakan di tengah-tengah penularan Covid-19 kerana bimbang ia akan membawa kemudaratan, meskipun penularannya dilihat kian berkurang.

"Sebenarnya mufti seluruh Malaysia telah bincang perkara ini. Dalam suasana sekarang, kita kena tanya pihak Kementerian Kesihatan (KKM).

"Pandangan KKM adalah ahli kibrah (berautoriti), jadi kalau KKM beri jaminan jika buat solat Jumaat tiga hingga 10 orang selamat, maka boleh diterima.

"Tempat rujukan mufti-mufti adalah KKM. Kita dengar pandangan pihak berkuasa, misalnya tak boleh hendak laksanakan sembahyang Jumaat di zon hijau (tanpa kebenaran pihak berkuasa)," katanya kepada Malaysiakini.

Mohamad Shukri

Pada 23 April, kerajaan dicadang membenarkan pelaksanaan sembahyang Jumaat minimum empat orang di masjid ketika pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa ketiga.

Presiden Pertubuhan Ahli Sunnah Wal Jamaah Malaysia (Aswaja), Zamihan Mat Zin, berkata ia boleh dilakukan dengan mematuhi segala peraturan bagi menghindari jangkitan Covid-19, termasuk menjaga penjarakan sosial, penggunaan topeng muka selain memastikan masjid bebas ancaman virus.

"Dari segi kaedah fekah, sesuatu yang tidak mampu dibuat kesemuanya tidak ditinggalkan kesemuanya," kata Zamihan.

Mengulas lanjut, Mohd Shukri berkata timbul kebimbangan jika pelaksanaan sembahyang Jumaat seumpama itu akan menimbulkan masalah lain, misalnya pemilihan jemaah yang terlibat.

"Bagaimana kita hendak menyekat orang dari kawasan lain datang dan kalau empat orang ini saja boleh, bagaimana jika ada orang lain persoal mengapa mereka tak boleh (turut serta)?

"Jadi, untuk mengelakkan kemudaratan ekoran penularan Covid-19, lebih baik kita hanya benarkan bila keadaan betul-betul selamat," katanya lagi, yang berpandangan dalam keadaan sekarang, fekah perlu diselarikan dengan syariah dan dasar kerajaan.

Berpandukan mazhab

Mufti Pahang, Abdul Rahman Osman pula berpendapat cadangan itu perlu mendapat kebenaran pihak berkuasa agama, di mana Raja-raja Melayu adalah ketua agama di negeri masing-masing.

"Sebenarnya sembahyang Jumaat yang disebut dalam enakmen mesti mendapat perkenan majlis agama Islam dan tidak boleh buat tanpa kebenaran.

"Dia ada peraturan-peraturan dan undang-undang dari segi syarak," katanya kepada Malaysiakini.

Menyambut baik lontaran pendapat berkenaan perkara itu, Abdul Rahaman berkata sebarang pelaksanaan harus berpegang kepada mazhab Syafie, dan jika diambil kira keadaan semasa, pandangan mazhab itu adalah tidak wajib untuk menunaikan sembahyang Jumaat.