Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Rasah hantar surat pada PM gesa siasat isu bakul makanan B40

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Ahli Parlimen Rasah Cha Kee Chin menghantar surat kepada Muhyiddin Yassin bagi menggesa perdana menteri mengarahkan siasatan terhadap dakwaan ketidakpatuhan terhadap garis panduan pengagihan bantuan khas Covid-19 kepada keluarga B40.

Cha mendakwa bahawa ketidakpatuhan terhadap garis panduan ini telah menjejaskan banyak kawasan parlimen dan mengakibatkan ramai golongan B40 menjadi mangsa.

Cha sebelum ini mendakwa bahawa setakat 21 April, pejabatnya hanya menerima 150 bakul makanan, dengan nilai setiap bakul tidak melebihi RM35 dan bukannya 1,000 bakul dengan setiap satunya bernilai RM100 seperti ditetapkan kerajaan.

Bagaimanapun, dalam sidang media semalam, Menteri Pertahanan Ismail Sabri Yaakob menafikan tuduhan bahawa kerajaan menyediakan bakul makanan yang tidak bernilai RM100 setiap bakul.

Sebaliknya, Ismail berkata bakul makanan dengan nilai RM35 itu adalah bantuan daripada NGO yang dihantar kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk diedarkan.

Dalam satu kenyataan malam tadi, Cha memberi gambaran dia tidak akan membiarkan saja isu itu.

"Garis panduan yang dikeluarkan oleh kerajaan dengan jelas menyatakan bahawa 1,000 ketua keluarga B40 dari semua kawasan akan menerima bakul makanan bernilai RM100.

"Bantuan ini selaras dengan surat dari Kementerian Kewangan bertarikh 27 Mac 2020.

"Garis panduan ini juga menggariskan prosedur perolehan, di mana Jabatan Kebajikan Masyarakat akan mengenal pasti pembekal dan jenis barang, dan kemudian membeli barang tersebut," tambahnya.

Menurut garis panduan itu, ahli parlimen diberi tanggungjawab untuk mengagihkan bantuan dari rumah rumah ke rumah, dibantu oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia dan Rela.

"Dari segi kualiti dan kuantiti, bakul makanan ini sangat berbeza, berbanding dengan bakul makanan yang dijanjikan dalam garis panduan itu," kata Cha.

Cha juga berkata bahawa tidak jelas adakah sama ada baki 850 bakul makanan akan dibekalkan kepada kawasannya atau tidak, kerana pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat Seremban belum memberi maklum balas.

"Terdapat lebih dari 100,000 pengundi di Parlimen Rasah, dengan anggaran lebih dari 150,000 orang.

"Ramai B40 yang terpengaruh dengan pelaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP). Ramai di antara mereka tidak dapat bekerja dan tidak mempunyai simpanan yang mencukupi untuk bertahan dalam tempoh PKP," katanya.

Menurut Cha, perdana menteri bertanggungjawab untuk memastikan bahawa tidak ada salah urus dalam pemberian bantuan makanan tersebut dan harus mengarahkan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat untuk mengambil tindakan segera untuk memperbaiki keadaan.

Dia menambah bahawa keputusannya untuk menulis surat kepada perdana menteri mengenai masalah ini telah disampaikan kepada pimpinan Pakatan Harapan (PH).

Dalam kenyataan berasingan hari ini, Cha berkata dia terkejut dengan jawapan Ismail yang mengatakan bahawa 150 bakul makanan yang diberikan kepada Parlimen Rasah adalah sumbangan NGO.

"Penafian beliau menunjukkan bahawa setakat ini Parlimen Rasah masih belum menerima apa-apa bakul makanan daripada kerajaan pusat Perikatan Nasional (PN), walaupun PKP fasa ketiga hampir ke penghujungnya," katanya