Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu Rohingya: M'sia perlu lobi Asean tingkatkan tekanan pada Myanmar - Isma

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Malaysia perlu melobi negara-negara Asean lain untuk memberi tekanan kepada Myanmar agar menghentikan segala bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap etnik Rohingya, kata Timbalan Presiden Ikatan Muslimin Malaysia (Isma) Muhammad Fauzi Asmuni.

Fauzi berkata kerajaan perlu menjuarai isu tersebut memandangkan ia tidak mendapat perhatian banyak negara.

"Nasib malang yang menimpa mereka sepatutnya mendapat pembelaan di peringkat Asean terutamanya daripada negara yang berkongsi laut dengan mereka iaitu Thailand, Indonesia dan Malaysia.

"Untuk menjuarai isu kemanusiaan serantau ini, Malaysia mesti mendesak Myanmar dengan kuat dan melobi negara-negara Asean lain untuk menekan Myanmar agar menghentikan segala bentuk diskriminasi dan penindasan terhadap etnik Rohingya," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Isu pelarian Rohingya kembali menjadi perhatian selepas pihak berkuasa negara dilaporkan menghalang bot yang membawa ratusan pelarian Rohingya daripada memasuki perairan negara.

Terdapat juga laporan bahawa tidak kurang 20 orang etnik itu maut setelah beberapa minggu hanyut di lautan setelah gagal menuju ke Malaysia.

Fauzi menyifatkan langkah penolakan pelarian perlu dijadikan jalan terakhir, hanya jika telah diusahakan cara lain untuk membantu mereka.

"Tetapi pada masa sama, tindakan itu mestilah disusuli dengan apa-apa tindakan yang menjamin keselamatan nyawa pelarian tersebut," katanya, sambil mencadangkan kerajaan mengusulkan tabung kemanusiaan dan bantuan pendidikan berkaitan pelarian Rohingya.

Dalam pada itu, Fauzi juga berkata pejuang kebebasan di kalangan etnik Rohingya sepatutnya meningkatkan usaha melobi di peringkat antarabangsa berhubung status dan hak mereka sebagai warga Myanmar.

“Mereka mesti berjuang ke arah itu dan bukannya mendesak mana-mana kerajaan lain seperti Malaysia untuk memberikan mereka taraf kewarganegaraan.

“Komuniti pelarian Rohingya di Malaysia sama ada berdaftar dengan UNHCR mahu pun tidak, mesti menghormati budaya dan undang-undang Malaysia serta sumbangan bantuan kemanusiaan yang diberikan. Sebarang tindakan yang melampaui batas akan menyebabkan rasa tidak puas hati rakyat Malaysia," katanya lagi.

Untuk rekod, dakwaan tuntutan menjadi warga itu tular di media sosial baru-baru ini, mencetuskan bantahan daripada ramai pihak.

Bagaimanapun Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia Etnik Rohingya Myanmar Malaysia (Merhrom) Zafar Ahmad Abdul Ghani - yang dikaitkan dengan dakwaan itu - menafikan pernah membuat tuntutan sedemikian.