Skip to main
Logo Malaysiakini

Benarkan perniagaan beroperasi semula secara bertahap - Khaled

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Naib Presiden Umno Mohamed Khaled Nordin meminta kerajaan merangka strategi keluar yang jelas untuk Malaysia berdepan keadaan ekonomi sebaik sahaja pandemik Covid-19 dapat dikawal dan perintah kawalan pergerakan (PKP) ditamatkan.

"Minggu lalu memberi semangat kepada Malaysia dengan penurunan kes baru Covid-19.

"Oleh itu, diharapkan kerajaan mula menimbang untuk memberi kebenaran perjalanan rentas negeri bagi membolehkan rakyat dapat kembali bekerja setelah PKP berakhir," kata bekas menteri besar Johor itu dalam kenyataan hari ini.

Bagaimanapun beliau berkata kerajaan tidak perlu menjadikan perkara itu sebagai keutamaan sehingga mengalihkan tumpuan daripada kebimbangan lain yang lebih mendesak.

"Pertama, ada keperluan segera untuk 'strategi keluar' yang jelas dan dapat dilaksanakan untuk menghadapi keadaan ekonomi Malaysia sekarang.

"Kerajaan harus mempertimbangkan dan menyediakan rancangannya mengenai bagaimana memperbaharui ekonomi negara. Ini tidak boleh ditunggu lagi.

"Semakin kita melambatkannya, semakin kita tidak akan dapat mengekalkan sistem penjagaan kesihatan dan kesejahteraan rakyat," katanya lagi.

Mengulas lanjut, Khaled berkata sebagai permulaan, sementara PKP masih berjalan, sektor ekonomi dan perniagaan tertentu perlu dibenarkan beroperasi.

"Kebenaran bekerja untuk pekerja di sektor berisiko rendah harus dipertimbangkan dengan serius dan bukan hanya perkhidmatan penting.

"Langkah Jerman bergerak secara beransur-ansur membenarkan operasi sekolah dan kedai berkeluasan sehingga 800 meter persegi adalah diikuti," katanya lagi.

Justeru, Khaled menyeru kerajaan memberi kebenaran untuk sektor perniagaan beroperasi semula secara berperingkat, di mana sekatan dapat dilonggarkan sedikit demi sedikit tetapi pada masa sama tetap mematuhi penjarakan sosial.

"Kedua, kerajaan harus mempertimbangkan untuk menghapuskan beberapa sekatan untuk perniagaan dan kegiatan ekonomi di kawasan zon hijau di beberapa negeri seperti Pulau Pinang, Terengganu, Sarawak dan Perlis.

"Dengan syarat mereka yang menjalankan perniagaan perlu mengikut pematuhan ketat terhadap jarak fizikal dan kebersihan diri," katanya lagi.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.