Perbincangan tergempar isu Rohingya diperlukan
ULASAN | Insiden menyayat hati penolakkan kapal dipenuhi pelarian Rohingya setelah bertarung nyawa di tengah lautan sangat menggemparkan perasaan umat Islam yang beriman.
Malaysia telah menolak saudara seislam kembali ke laut tidak lama sebelum tibanya Ramadan, setelah mereka semua hampir kebuluran dengan puluhan akhirnya menemui ajal di laut.
Kita harus bersedia dengan kemungkinan ketibaan seterusnya bot yang membawa pelarian Rohingya di bulan Ramadan ini.
Sanggupkah kita sekali lagi menolak mereka yang sedang kelaparan kembali ke laut untuk menghadapi risiko kematian di bulan yang mulia ini? Ini adalah realiti mungkin berlaku esok atau lusa.
Malaysia pernah menyelamatkan pelarian ekonomi dan politik dari Vietnam yang sampai dengan bot pada dekad 1970-an dahulu atas dasar kemanusiaan.
Insiden penolakan pelarian tidak selari dengan ajaran dan amalan Islam yang menuntut kita menyelamatkan nyawa yang terancam.
Kerajaan Perikatan Nasional, yang menganggap mereka sebagai kerajaan Melayu-Islam - sepatutnya mengamalkan sepenuhnya ajaran Islam untuk menyelamatkan mereka.
PAS dan Umno patut menerajui usaha ini, apatah lagi kerana pernah menganjurkan himpunan dan misi bantuan kemanusiaan tidak lama dulu. Dengan kuasa yang dipegang, mereka tidak harus cepat lupa pembelaan yang pernah disuarakan dahulu, yang digunakan untuk mengangkat nama mereka.
Malaysia mempunyai garis panduan dan pengalaman ketika menyelamatkan pelarian Vietnam dahulu.
Bagi mengelakkan percampuran pelarian dengan warga tempatan, demi mengekang penularan Covid-19, pusat pengasingan pelarian Vietnam dahulu, misalnya di Pulau Bidong dan Sungai Besi, boleh digunakan.
Memandangkan Malaysia memerlukan tenaga buruh, pelarian Rohingya ini boleh ditempatkan untuk industri tempatan bagi menggantikan pekerja warga Bangladesh dan Nepal yang dikenakan bayaran yuran tinggi.
Sistem lama pengambilan perkerja asing hanya memberi manfaat kepada pihak tertentu dengan keuntungan jutaan ringgit. Cara ini akan mengatasi masalah tenaga pekerja asing dan boleh juga menyelamatkan pelarian Rohingya.
Untuk membayai sebahagian dari kos cadangan ini, Umno yang merupakan sebahagian daripada kerajaan boleh mendapatkan sumbangan dana, misalnya daripada Arab Saudi, yang sebelum ini begitu bermurah hati terhadap pentadbiran BN.
Presiden PAS Abdul Hadi Awang sebagai duta khas perdana menteri ke Timur Tengah boleh memainkan peranan untuk mendapatkannya.
'Dulu lantang, kini membisu'
Insiden penolakan pelari Rohingya ini sangatlah bertentangan dengan ajaran Islam dan mengundang risiko mereka menemui ajal di laut.
Justeru, saya merayu kepada para agamawan di Malaysia untuk bersuara dan dalam isu ini di bulan yang mulia ini.
Sangatlah menyedihkan apabila sejumlah ulama dalam PAS memilih untuk membisu sekarang, berbanding kelantangan mereka dalam isu berkaitan Islam sebelum ini. Adakah politik lebih penting daripada ajaran agama?
Sudah muncul suara untuk menghalau etnik Rohingya di Malaysia oleh golongan yang dahulunya mengambil kesempatan politik di atas penderitaan mereka.
Ini semua berlaku di bulan Ramadhan di mana kita sepatutnya lebih prihatin dan insaf atas kesengsaraan sesama Islam, walaupun ada agamawan yang memilih untuk terus membisu.
Berkatalah yang benar walaupun pahit kepada pemerintah dan janganlah hanya mencari populariti dunia kerana Allah akan mengadili kita di akhirat nanti.
Saya menggesa satu sesi perbincangan tergempar diadakan melibatkan wakil kerajaan - khususnya Umno dan PAS - serta wakil PH dan golongan agamawan berkenaan perkara ini. Memandangkan kerajaan keberatan untuk mengadakan sidang Parlimen, inilah cara terbaik.
Saya menggesa perbincangan ini diadakan segera sebelum lebih banyak ketibaan pelarian Rohingya di perairan kita, dan sebelum kita menolak mereka sekali lagi ke laut untuk mungkin menghadapi risiko maut tanpa kubur.
Umat Islam itu bersaudara, dan semangat persaudaraan dan keprihatinan ini amat dititikberatkan terutama di bulan Ramadhan al-Mubarak ini.
RAJA KAMARUL BAHRIN SHAH RAJA AHMAD ialah pengerusi PH Terengganu merangkap anggota Dewan Negara.
Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai