Skip to main
Logo Malaysiakini

Dispekulasi sakit tenat, kelibat Kim Jong-un masih tak kelihatan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin Korea Utara, Kim Jong-un, tidak kelihatan muncul di khalayak pada Sabtu, ketika media yang dikawal ketat negara itu, menumpukan kepada liputan sambutan ulang tahun angkatan tentera, lapor agensi berita Yonhap.

Sejak 11 April lalu, media tidak melaporkan mengenai aktiviti Kim Jong-un, seterusnya mencetuskan spekulasi pemimpin berusia 36 tahun itu kemungkinan sedang sakit tenat.

Sebaliknya, outlet propaganda Pyongyang lebih menumpukan kepada sambutan ulang tahun ke-88 Tentera Revolusi Rakyat Korea (KPRA) yang jatuh pada 25 April.

Agensi Berita Pusat Korea mengeluarkan laporan terperinci mengenai sejarah KPRA yang bermula sebagai tentera gerila rakyat anti-Jepun, dibentuk oleh mendiang Kim Il-sung, yang juga datuk kepada Kim Jong-un. Korea berada di bawah pemerintahan kolonial Jepun pada masa itu.

Dalam lidah pengarang akhbar Rodong Sinmun, menekankan mengenai seruan Kim Jong-un untuk memperkuat keupayaan pasukan tentera dan menggesa sokongan padu tentera terhadap kepemimpinannya.

Sementara itu, laporan Reuters mengatakan China telah menghantar sekumpulan doktor perubatan dan pegawai ke Korea Utara.

Delegasi yang diketuai pegawai kanan Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China itu, berlepas dari Beijing pada Khamis.

- Bernama