Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM: Ujian hanya untuk warga asing ada kaitan kluster Sri Petaling

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan (KKM) akan melakukan ujian kesihatan terhadap warga asing di kawasan tertentu yang dikenakan perintah kawalan diperketatkan (PKPD) dan terdedah dengan kluster Sri Petaling.

Ketika bercakap dalam sidang media harian hari ini, Ketua Pengarah Kementerian Kesihatan, Dr Noor Hisham Abdullah berkata, ujian berkenaan telah dijalankan di Menara City One, bangunan Selangor Mansion, Malayan Mansion, Masjid India dan Selayang.

Beliau menjelaskan ujian berkenaan tidak akan dilakukan kepada semua pekerja asing di negara ini.

"Ini adalah lokaliti kita kerana kes indeks terdedah kepada kluster Sri Petaling. Itu sebab mengapa kita tidak mengambil tindakan ke atas semua warga asing.

"Oleh kerana kumpulan berisiko tinggi adalah mereka yang terdedah kepada perhimpunan Sri Petaling," katanya ketika menjawab soalan.

Selain itu Noor Hisham berkata PKPD yang dikenakan di Selayang juga bertujuan memudahkan ujian dilakukan ke atas pekerja asing yang berpotensi terdedah kepada kluster berkenaan.

Kluster Sri Petaling merujuk kepada peserta yang menyertai ijtima tabligh di Masjid Sri Petaling dari 27 Feb hingga 1 Mac lalu.

Setakat jam 12 tengah hari ini, sebanyak 2,112 kes Covid-19 adalah dari kluster berkenaan dan telah merentasi lima 'generasi' atau lapisan.

Kementerian itu sebelum ini berkata ia akan memulakan ujian saringan secara besar-besaran kepada pekerja asing seperti yang dilakukan Singapura.

Ini mendorong Adun Bukit Tengah, Gooi Hsiao Leung bertanya mengapa pekerja asing di kawasannya tidak pernah menjalani ujian saringan.

Keputusan ujian besar-besaran

Noor Hisham menjelaskan sebahagian besar daripada mereka yang dikesan positif Covid-19 merupakan individu bukan warganegara.

Daripada 51 kes yang dikesan di Menara City One, 37 adalah terdiri daripada warga asing.

Daripada 166 kes di Selangor Mansion, 150 adalah warga asing dan 20 kes baru dikesan hari ini.

Daripada tujuh kes di Malayan Mansion, enam adalah warga asing, makala ketiga-tiga kes di Masjid India juga melibatkan warga asing.

Daripada 46 kes di Selayang, 35 adalah warga asing, dan 10 kes baru dikesan setakat hari ini.

Secara keseluruhan, Malaysia mencatatkan sejumlah 51 kes baru hari ini - jauh lebih rendah berbanding kenaikan tiga digit awal bulan ini.

[Baca berita penuh]