Skip to main
Logo Malaysiakini

Ujian saringan tak teratur: Penduduk Menara City One tolak penjelasan KKM

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Penduduk Menara City One Kuala Lumpur menolak penjelasan Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berhubung ujian saringan massa yang dijalankan semalam, yang didakwa dikendalikan secara tidak teratur.

Noor Hisham berkata penjarakan sosial tidak dapat diamalkan semalam kerana ada penduduk yang ke tempat ujian dilaksanakan, walaupun mereka tidak dipanggil untuk berbuat demikian.

"Apabila kita lihat laporan, pengumuman (ujian) hanya dibuat untuk Blok A.

"Tetapi ada penduduk Menara B yang turut turun ke bawah (ke tempat ujian). Jadi ada kesesakan," katanya ketika diminta mengulas perkara itu ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Bagaimanapun penduduk kondominium itu dalam satu kenyataan balas segera, berkata ia tidak benar.

Mereka sebaliknya berkata kakitangan Kementerian Kesihatan (KKM) yang mengarahkan ujian massa dibuat pada masa sama.

"Kami amat kecewa dengan cara KKM mengendalikan sesi tersebut. Selepas ujian ke-12 semalam, kesimpulan dibuat bahawa kakitangan KKM meminta penduduk dari pelbagai unit dan aras untuk datang serentak ke kawasan awam, tanpa mengambil kira (kemungkinan) penularan...

"Kami menafikan ramai penduduk Blok B yang datang ke sesi ujian untuk penduduk Blok A semalam, seperti yang disebut Noor Hisham hari ini," kata mereka.

Kenyataan itu dikeluarkan bersama oleh penduduk, syarikat pengurusan dan pengurusan kondominium.

Penduduk Blok A sebelum ini memberitahu Malaysiakini bahawa mereka diberitahu petang semalam untuk bersiap sedia menjalani ujian.

Kakitangan kementerian diiringi polis bersenjata kemudian mengetuk pintu setiap unit pangsapuri.

Selepas itu, penduduk berbaris panjang untuk menuju ke empat lif yang berfungsi di bangunan itu, dan jarak sosial dikatakan tidak diamalkan.

Dalam sidang media hari ini, Noor Hisham berjanji bahawa ujian massa pada masa akan datang akan dilakukan sesuai dengan peraturan.

"Kami berharap dari segi pelaksanaannya, kami benar-benar dapat meningkatkan amalan penjarakan sosial di kalangan penduduk," katanya.

Penduduk berkata keadaan tak teratur seperti itu sudah beberapa kali terjadi.

Justeru, mereka mengusulkan agar kementerian melakukan pemeriksaan dari rumah ke rumah untuk mengurangkan risiko jangkitan.

"Meminta penduduk berkumpul dalam jumlah besar dan beratur untuk menjalani ujian mendedahkan mereka kepada risiko dijangkiti Covid-19," kata mereka.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.