Skip to main
Logo Malaysiakini

Pemegang pas MM2H: ‘Malaysia satu-satunya rumah kami’

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Mereka mungkin pemegang pas Malaysia Rumah Keduaku (MM2H), tetapi pasangan dari Amerika Syarikat, Sarah dan John (bukan nama sebenar) menggangap Malaysia adalah satu-satunya rumah mereka sejak 2018.

Bagaimanapun, perlaksanaan perintah kawalan pergerakan (PKP) di Malaysia sejak 18 Mac lalu bagi membendung penularan wabak Covid-19, menyebabkan mereka telah tersekat di luar negara.

“Ramai daripada kami telah menjual segala-galanya di negara kami dan memulakan perjalanan ke Malaysia sebagai satu-satunya rumah kami.

“Jadi bila kami diminta untuk pulang, kami beritahu Malaysia adalah rumah kami. Kami tiada rumah lain untuk dituju.

“Apa yang kami ada semua di dalam kondominium di Malaysia,” kata Sarah kepada Malaysiakini melalui Whatsapp. 

Pasangan tersebut meminta butiran mereka dirahsiakan kerana bimbang menerima reaksi buruk daripada rakyat Malaysia.

Sarah dan suaminya sedang bercuti di luar negara ketika mereka mendapat khabar bahawa Malaysia telah menutup sempadannya.

Susulan perbezaan zon waktu, Sarah berkata dia tidak dapat melakukan perjalanan pulang pada 18 Mac itu.

Mereka juga diberitahu oleh agen MM2H bahawa pihak yang memegang pas itu tidak akan dibenarkan masuk ketika tempoh PKP, tambahnya.

Oleh itu, mereka membuat keputusan terbang ke negara jiran Thailand untuk menunggu fasa pertama PKP itu.

Bagaimanapun, PKP dilanjutkan sebanyak tiga kali sehingga 12 Mei dan kemungkinan akan dilanjutkan lagi.

“Kami telah terdampar sejak 18 Mac, tinggal di hotel, beranggapan bahawa satu hari kami boleh pulang.

“Kami akhirnya sedar bahawa kami mungkin akan terkurung berbulan-bulan.

“Tuan rumah juga harap kami tetap bayar sewa di rumah yang kami tak dapat masuk. Kami pula kini sedang menyewa dan membeli keperluan asas di Thailand,” katanya.

MM2H adalah inisiatif kerajaan di bawah Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dilancarkan pada tahun 2002 yang bertujuan menarik ekspatriat untuk melabur di Malaysia sebagai pilihan serius untuk migrasi.

Pas MM2H adalah visa boleh diperbaharui 10 tahun, pas kemasukan berkali itu turut memberi insentif seperti pembelian harta tanah dan pendidikan, antara lain.

Sarah berkata, kini kesemua komuniti pemegang pas MM2H berasa bimbang akan program tersebut.

“Dengan kami terkurung di luar, mereka memberi impak negatif terhadap program ini.

“Terdapat banyak emel yang sudah dihantar kepada (kementerian perlancongan, seni dan budaya) Nancy Shukri, merayu supaya mempertimbangkan untuk membawa kami pulang…seperti ekspatriat lain, kami memberi sumbangan besar kepada ekonomi. Kami juga mempunyai insurans perubatan swasta,”katanya.

Malaysiakini sudah berusaha menghubungi Nancy berkenaan perkara tersebut dan sedang menunggu respons.

Pemegang pas MM2H bukan satu-satunya pihak yang menghadapi masalah untuk kembali ke negara ini ketika PKP.

Seorang warga Malaysia, Nur Afiqah Rahmat, berkata dia dan teman lelakinya – yang merupakan rakyat British- Tony Watson, telah merancang untuk mendaftar perkahwinan mereka sehingga PKP secara tiba-tiba dilaksanakan. 

Watson, yang mempunyai visa permastautin, telah menetap di Malaysia sejak 2014.

Nur Afiqah,32, baru sahaja berhenti kerja di Doha, Qatar untuk berkahwin dengan Watson, 40, dan kedua-dua mereka sepatutnya terbang pulang ke Malaysia pada 25 Mac.

Bagaimanapun, mereka membuat keputusan untuk ke United Kingdom (UK) terlebih dahulu bagi menziarahi orang tua Watson. Itu ketika PKP dilaksanakan pada 18 Mac lalu.

“Jadi saya terpaksa terbang (pulang) tanpanya, dia kini tinggal di rumah orang tua, di bilik tidur ibunya.

“Dia tak boleh datang sini dan sambut Hari Raya Aidilfitri dan berkahwin dengan saya,” katanya kepada Malaysiakini.

Katanya lagi, Watson mempunyai kondominium di Bangsar di mana dia masih perlu membayar pinjaman, bagaimanapun dia meluahkan syukur setelah pihak bank menangguhkan pembayaran sepanjang enam bulan ketika PKP.

Jelas Nur Afiqah, Watson sanggup menanggung kos kuarantin diri dan segala keperluan tersebut.

“Dan saya tahu, beberapa ekspatriat sanggup berbuat perkara sama, asalkan mereka dapat pulang di sini, di mana rumah mereka berada,” katanya.

PKP yang pertama kali dilaksanakan pada 18 Mac lalu telah ditangguhkan tiga kali sehingga 12 Mei, bagi memutuskan rantaian penularan Covid-19.

Perdana Menteri Muhyiddin Yassin sebelum ini berkata kemungkinan perintah tersebut akan dilanjutkan lagi, sehingga sambutan Hari Raya Aidilfitri.       


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.