Skip to main
Logo Malaysiakini

Petronas nafi tutup pelantar

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Petronas menafikan laporan media yang mendakwa syarikat itu telah menutup 14 dari 18 pelantar minyaknya.

"Petronas ingin menjelaskan bahawa syarikat tidak menutup pelantar," kata Petronas dalam satu kenyataan hari ini, sebagai respons kepada laporan New Straits Times.

Kata kenyataan itu, satu-satunya pengecualian adalah pelantar yang menamatkan operasi penggalian atau ditangguhkan sementara susulan pandemik Covid-19.

Kenyataan itu juga menambah bahawa 18 pelantar Petronas masih beroperasi di perairan Malaysia.

"Petronas juga ingin menjelaskan bahawa terdapat penangguhan sementara projek di beberapa lokasi kerja kerana perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilaksanakan oleh kerajaan.

"Pada masa ini, kebanyakan projek ini telah memulakan semula kegiatan kerja atau akan disambung segera setelah mendapat persetujuan yang diperlukan dari kerajaan," katanya.

Petronas juga menafikan dakwaan telah menamatkan 14 projek lain.

Namun, syarikat itu mengakui bahawa beberapa projek mungkin menghadapi kelewatan kerana keadaan ekonomi semasa.

"Petronas berusaha untuk meminimumkan kesan terhadap program perbelanjaan modal domestik yang dirancang untuk menghadapi cabaran semasa.

"Walau bagaimanapun, kami menjangkakan bahawa beberapa projek akan mengalami kelewatan kerana penutupan berpanjangan yang dilaksanakan secara global dan PKP di Malaysia, selain gangguan selanjutnya yang dijangkakan ke rantaian bekalan global," kata kenyataan itu.

Minyak mentah Brent telah jatuh ke AS$21,44 setong kerana sebahagian besar ekonomi global terhenti dalam usaha menangani Covid-19.