Skip to main
Logo Malaysiakini

100 rumah di Ipoh rosak dipukul ribut

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kira-kira 100 buah rumah di Kampung Seri Klebang, Chepor Dalam dekat Ipoh rosak akibat hujan lebat dan angin kencang yang melanda petang semalam.

Menteri Besar Perak Ahmad Faizal Azumu berkata dalam kejadian menjelang waktu berbuka puasa itu, selain rumah penduduk, sebuah menara masjid turut tumbang dan menghempap sebuah inap desa yang baru siap dibina, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.

"Kerajaan negeri akan membantu semua penduduk terjejas, maklumat mengenainya sedang dikumpul dan setakat ini hanya dua keluarga yang minta dipindahkan. Mereka ini akan ditempatkan sementara di dewan sekolah berhampiran.

"Jika tidak ramai yang (minta) berpindah, kita merancang untuk menempatkan mereka di inap desa," katanya selepas melawat kawasan kejadian di Ipoh, malam tadi.

Sementara itu, Ahli Dewan Undangan Negeri Manjoi, Asmuni Awi berkata pihaknya akan menyediakan makanan bersahur untuk semua keluarga yang terjejas malam ini.

Mengenai jumlah kerosakan, Asmuni berkata maklumat tersebut sedang dikumpul.

- Bernama