Skip to main
Logo Malaysiakini

Apa nasib kaum pekerja lepas wabak Covid-19?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

KATA MP | Federation of Malaysian Manufacturers (FMM), sebuah persekutuan pengilang-pengilang menyatakan bahawa besar kemungkinan 63 peratus ahli-ahli mereka akan membuang pekerja-pekerja akibat wabak Covid-19 dan perintah kawalan pergerakan (PKP) yang dilanjutkan.

Sebanyak 47 peratus pengilang-pengilang tersebut akan berbuat demikian dalam tempoh tiga hingga enam bulan akan datang.

Malaysian Institute of Economic Research (Mier) pula menganggarkan 2.4 juta pekerja Malaysia akan hilang pekerjaan jika tempoh PKP dilanjutkan.

The Malaysian Employers Federation (MEF), sebuah persekutuan majikan-majikan menjangkakan kira-kira satu juta pembuangan pekerja berlaku pada tahun ini.

Tiga kenyataan dari tiga buah badan yang disebut di atas amat membimbangkan kita semua tentang nasib kaum pekerja di Malaysia.

Bolehkah majikan buang pekerja sesuka hati?

Sejumlah besar pekerja-pekerja di Malaysia ialah pekerja yang makan gaji. Mereka bekerja untuk majikan. 

Sebanyak 98.5 peratus syarikat-syarikat perniagaan di negara ini adalah syarikat perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Pada 6 April 2020 yang lalu Kerajaan Persekutuan telah membentangkan pakej rangsangan ekonomi dengan jumlah dana sebanyak RM10 bilion kebanyakannya sebagai subsidi gaji kepada syarikat-syarikat PKS supaya jangan membuang pekerja-pekerja mereka.

Apakah kedudukan di segi undang-undang apabila kaum pekerja dibuang disebabkan wabak Covid-19 serta pelaksanaan perintah kawalan pergerakan?

Bolehkah majikan-majikan bertindak sesuka hati membuang pekerja? Jawapannya tidak.

Malaysia kita ini ada undang-undang yang mengatur hubungan antara majikan dan pekerja-pekerja mereka. Undang-undang itu bernama Akta Perhubungan Perusahaan Tahun 1967 (Industrial Relation Act 1967)

Bagi sejuta kaum pekerja yang mungkin dibuang pada tahun ini, mereka jangan menyerah kalah begitu sahaja. Negara kita bergerak atas landas hukum, kedaulatan undang-undang (rule of Law).

Bawa kes ke mahkamah perusahaan

Di bawah Seksyen 20 Akta Perhubungan Perusahaan tahun 1967, seseorang pekerja yang merasa bahawa dia telah diberhentikan kerja secara tidak adil tanpa sebab atau alasan yang adil oleh majikannya, maka pekerja berkenaan boleh mengemukakan aduannya kepada Ketua Pengarah Jabatan Perhubungan Perusahaan dalam tempoh masa 60 hari dari tarikh penamatan kerja.

Sekiranya proses runding damai antara pekerja dengan majikan yang diusahakan oleh Jabatan Perhubungan Perusahaan menemui kegagalan, maka pekerja mempunyai hak untuk membawa kes pembuangan mereka di Mahkamah Perusahaan.

Saya sebagai anggota parlimen Pasir Gudang di mana Pasir Gudang merupakan kawasan industri yang besar di tanah air kita ini berharap pihak-pihak majikan tidak mengambil langkah yang sewenang-wenang membuang pekerja mereka.

Dalam hubungan ini, saya menyeru Kerajaan melalui Majlis Tindakan Ekonominya supaya mengemukakan satu plan bertindak untuk menyelamatkan pekerja-pekerja Malaysia daripada dibuang kerja.

Justeru itu, saya rasa kecewa parlimen hanya bersidang satu hari sahaja pada 18 Mei 2020.Tiada sesi pertanyaan jawab lisan; tiada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri dan tiada usul-usul dibenarkan.

Jadi ahli-ahli parlimen tidak dapat bertanya kepada kerajaan apakah langkah-langkah konkrit yang telah dan akan diambil untuk selamatkan jutaan pekerja daripada diberhentikan.

Tiada pembangunan ekonomi jika rakyat tiada pekerjaan dan pengangguran di negara ini meningkat.


HASSAN KARIM ialah Anggota Parlimen Pasir Gudang.

Artikel ini pandangan penulis dan tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.