Skip to main
Logo Malaysiakini

MP dakwa bantuan makanan kawasan diberi pada parti PN

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Anggota Parlimen Ipoh Barat M Kulasegaran mendakwa bekalan makanan yang disediakan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) buat penduduk memerlukan di kawasannya telah diberikan kepada wakil Umno, PAS dan Bersatu.

Bagaimanapun, beliau berkata tiada bukti yang menunjukkan bekalan makanan itu benar-benar sampai kepada golongan yang disasarkan, iaitu isi rumah dalam kategori B40.

“Soal bahawa parti-parti ini tidak mewakili kawasan parlimen Ipoh Barat adalah perkara kedua.

“Apa yang lebih penting, kami bertanya mengapa barang keperluan yang penting ini tidak sampai kepada pihak yang paling terkesan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) menerusi JKM telah menyediakan bakul makanan dan barang keperluan untuk 1000 isi rumah di setiap kawasan Parlimen.

Di kawasan Parlimen yang diwakili pembangkang, mekanisme pengagihan didakwa tidak konsisten.

Pada 13 April lalu, Malaysiakini melaporkan bahawa JKM akan menghubungi wakil rakyat setiap kawasan untuk memberikan senarai nama penerima bakul makanan tersebut.

Bagaimanapun ada anggota parlimen pembangkang mendakwa belum menerima bakul makanan tersebut. Ada juga yang berkata ia masih tidak diagihkan kepada penduduk.

Kulasegaran berkata proses pengagihan perlu dilakukan secara telus.

Sementara itu, beliau memaklumkan sejumlah 1,500 keluarga telah menghubunginya bagi mendapatkan bantuan bekalan makanan dan pasukannya telah membantu kira-kira 200 keluarga.

“Kami juga menyokong tiga NGO yang bekerja tanpa penat lelah dan setiap masa untuk menyediakan dan mengedarkan bekalan makanan kepada 1,500 orang setiap hari.

“Malangnya dengan kekangan kewangan dan kakitangan, yang hanya boleh datang dari kerajaan persekutuan, banyak keluarga dan kanak-kanak yang tidur dalam kelaparan setiap malam pada waktu luar biasa ini,” katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.