Skip to main
Logo Malaysiakini

Kereta api Jong-un dikesan di pusat percutian

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Sebuah kereta api yang dirakam diparkir di kawasan khas untuk keluarga Kim Jong-un di Wonsan pada 21 dan 23 April lalu mungkin memberi maklumat terbaru mengenai keberadaan pemimpin Korea Utara terbabit.

Wonsan merupakan kawasan percutian yang terkenal di negara itu.

Maklumat itu dikongsi sebuah firma penyelidik yang berpangkalan di AS ketika tersebar berita yang mendakwa Kim, 36, mungkin sedang nazak atau sudah meninggal dunia.

Memetik portal 38North, agensi berita AFP melaporkan keadaan kereta api itu memang tidak memberikan sebarang maklumat mengenai Kim atau keadaan kesihatannya.

“Tetapi itu tetap memberi kemungkinan bahawa Kim kini berada di pusat percutian elit di pantai timur Korea Utara,” lapornya.

Terdahulu, sebuah laman sesawang yang berpusat di Seoul, Daily NK, melaporkan Kim dimasukkan ke hospital pada 12 April lalu beberapa jam sebelum menjalani pembedahan berkaitan kardiovaskular.

Keadaan kesihatan pemimpin Korea Utara itu dilaporkan merosot sejak Ogos lalu. Antara lain akibat tabiat merokoknya, kegemukan dan terlalu banyak kerja.

Spekulasi bertambah hangat apabila Kim gagal hadir pada hari ulang tahun kelahiran pengasas Korea Utara - yang juga adalah datuknya, Kim Il Sung - pada 15 April.

CNN pula memetik seorang pegawai AS yang berkata bahawa Washington sedang "memantau sumber perisikan" yang mencadangkan bahawa Kim dalam bahaya besar selepas menjalani pembedahan.

Laporan Reuters juga mengatakan China telah menghantar sekumpulan doktor perubatan dan pegawai ke Korea Utara.

Delegasi yang diketuai pegawai kanan Jabatan Perhubungan Antarabangsa Parti Komunis China itu, berlepas dari Beijing pada Khamis lalu.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.