Skip to main
Logo Malaysiakini

Putera Charles dukacita kanak-kanak muslim di UK korban Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pewaris takhta Britain, Putera Charles menzahirkan penghormatan beliau terhadap kanak-kanak muslim Ismail Mohamed Abdulwahab, 13 tahun yang meninggal akibat Covid-19.

Anak sulung Ratu Elizabeth itu berkata demikian dalam perutusan Ramadan kepada umat Islam di United Kingdom bersempena majlis 'Iftar maya' anjuran yayasan putera itu, The Mosaic Initiative dan Naz Legacy Foundation.

Charles, 71 tahun yang juga Prince of Wales turut memuji umat Islam yang menjadi petugas kesihatan awam NHS (United Kingdom National Health Service).

"Saya amat berdukacita dengan kisah tragis Ismail Mohamed Abdulwahab, sebelum ini dia seorang kanak-kanak 13 tahun yang sihat namun meninggal dunia tanpa ditemani keluarga di sisinya.

“Setiap kematian, apa pun sebabnya, menjadi sukar buat keluarga susulan beberapa sekatan kini terhadap pengebumian. Saya sangat faham betapa seksa buat pihak yang terkesan dan saya juga tahu seberapa besar pun kesedihan itu, ia akan dikongsi oleh ramai orang - termasuk saya.

“Ekoran keadaan yang mencabar ini, saya dan isteri hanya mampu menawarkan anda semua yang terbaik dari kami dan dengan ucapan khas ini bagi menzahirkan betapa besar pengorbanan umat Islam kepada United Kingdom (UK) cukup dihargai,” katanya dipetik media antarabangsa Evening Standard.

Tragis doktor, jururawat hilang nyawa

Ismail, berasal dari Brixton di Selatan London dilaporkan menjadi kanak-kanak pertama di UK yang meninggal setelah disahkan positif Covid-19.

Kanak-kanak tersebut dimasukkan ke Hospital King College pada 26 Mac lalu dan disahkan positif pada keesokan hari.

Dia dikebumikan empat hari kemudian tetapi ahli keluarganya tidak dapat menghadiri upacara tersebut kerana terpaksa mengkuarantin diri.

Sementara itu, Charles dalam ucapannya juga menzahirkan rasa simpati kepada keluarga doktor dan jururawat Islam yang kehilangan orang yang mereka sayang ekoran wabak Covid-19.

"Ramai umat Islam di Britain sudah tentu akan melalui Ramadan di barisan hadapan krisis Covid-19, bekerja bersama NHS dan dalam peranan utama lainnya.

“Paling tragis, saya tahu ramai doktor dan jururawat berpengalaman daripada masyarakat muslim telah hilang nyawa akibat wabak berbahaya ini.

"Kepada keluarga dan rakan sekerja mereka, saya hanya boleh menzahirkan rasa simpati saya yang mendalam, dan kepada semua termasuk petugas barisan hadapan tanpa mengira agama, saya ucapkan terima kasih dan kagum atas semua yang mereka lakukan untuk diri kita semua,” katanya.

Pada 30 Mac lalu, Charles yang diuji positif Covid-19 sebelum ini telah dibenarkan keluar daripada pengasingan diri di Scotland dan tidak lagi dikuarantin.

Data yang dikeluarkan minggu ini di UK mendedahkan lebih 16 peratus rakyat yang meninggal akibat Covid-19 berasal dari masyarakat kulit hitam, etnik Asia dan minoriti (Bame).

Lebih 80 pekerja NHS- sebahagian besar- yang meninggal dunia akibat Covid-19 berasal dari latar belakang Bame.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.