Skip to main
Logo Malaysiakini

Langkah legakan kesusahan kakitangan swasta, bekerja sendiri

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

ULASAN | Ekonomi dunia pasca wabak Covid-19 dijangka berlaku penurunan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global kepada 0.4 peratusan berbanding unjuran awal AS$86.6 trilion untuk 2019. Ini bermakna kerugian ekonomi kepada dunia ialah sebanyak AS$3.5 trilion.

Laporan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) menganggarkan 500 juta penduduk dunia akan jatuh miskin akibat ekonomi dunia yang terjejas teruk. Penduduk rantau Asia Pasifik paling terkesan dengan unjuran 240 juta orang, hampir separuh daripada angka tersebut.

Negara akan mengalami unjuran penguncupan pertumbuhan antara 0.4 hingga 2.5 peratus di mana pertumbuhan ekonomi untuk 2020 dijangkakan perlahan, daripada unjuran asal 4 peratus kepada 2.4 peratus. Pendapatan negara turut terjejas dengan penurunan harga minyak mentah kepada AS$20 setong dan impak terhadap industri pembuatan dan pelancongan.

Pelancongan yang menjana RM66b kepada pendapatan negara turut terjejas di mana sekatan perjalanan antara negara masih berkuatkuasa mungkin sehingga hujung tahun ini. Industri perhotelan sahaja akan rugi RM3.3b dan menjejaskan 56,229 pekerja.

Ekonomi domestik paling teruk terjejas dengan anggaran penguncupan kepada -2.8 peratus. Kebanyakan industri kecil dan sederhana (IKS) seperti pembuatan kerugian pendapatan hampir 50 peratus sehingga mereka terpaksa memberhentikan pekerja, memaksa cuti tanpa gaji atau pengurangan gaji.

Program Subsidi Upah dialu-alukan, namun dicadangkan supaya program subsidi upah ini dilanjutkan dari tiga bulan kepada enam bulan bagi pihak industri menangani keadaan selepas impak sebenarnya berlaku.

Selain itu, kerajaan disarankan berunding untuk memberi sedikit kelegaan kepada industri pembuatan yang bukan asas untuk beroperasi pada kadar 50 peratus kekuatan kerja bagi meneruskan keperluan domestik dan luaran.

Pekerja yang mendapat moratorium enam bulan pembayaran kredit juga patut tidak dibebankan dengan kadar faedah yang akan dikompounkan selama penagguhan bayaran. Dicadangkan moratorium kredit dikurangkan kadar faedah ataupun dihapuskan sahaja untuk meringankan beban pekerja setelah tamat penangguhan bayaran.

Kerajaan disarankan membantu kumpulan yang pekerja sendiri khususnya di sektor pelancongan yang terjejas teruk. Punca pendapatan dari rantaian pelancongan seperti pengendali chalet dan inap desa, peniaga makanan dan minuman serta pengendali khidmat pelancongan dan majlis secara bersendirian turut terjejas dengan tiadanya pelancong yang datang sepanjang 2020.

Pakej rangsangan perlu melihat semua aspek secara terperinci dan mestilah bermaklumat tepat supaya sasaran bantuan sampai kepada mereka yang memerlukan tanpa meninggalkan mana-mana pihak berpandukan kepada keberkesanan penyampaian dan perlaksanaan.


DR MUJAHID YUSOF ialah naib presiden Amanah dan ahli parlimen Parit Buntar, Perak.

Tulisan ini tidak semestinya mencerminkan pendirian rasmi Malaysiakini.