'Kenapa guna orang tengah mohon bantuan Covid-19?'
Pemohon Bantuan Tunai Ihsan Covid-19 di Johor mempersoal sistem yang digunakan kerajaan negeri apabila melantik wakil atau penyelaras pusat saluran sebagai orang tengah dalam proses permohonan bantuan berkenaan.
Salah seorang pemohon Shahruddin Mohammad, berkata kerajaan negeri seharusnya membuka permohonan secara dalam talian bagi memudahkan pemohon dan mengelakkan berlaku keciciran maklumat.
“Lantikan wakil tersebut boleh menyebabkan beberapa kemungkinan seperti tercicir atau kehilangan maklumat.
“Perkara lain seperti perbezaan fahaman politik juga boleh menjadi sebab pemohon yang layak tapi tak dapat kerana berlainan ideologi,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Semalam, Adun Johor Jaya Liow Cai Tung menggesa kerajaan negeri Johor membuka permohonan Bantuan Ihsan secara dalam talian.
Katanya, ia bagi memudahkan pemohon dan mengelakkan berlakunya pelanggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) apabila mereka berkumpul di pusat saluran kerana ingin menyerahkan maklumat masing-masing.
Ejen pusat saluran terbabit terdiri daripada Pejabat Menteri Besar, pejabat daerah, pihak berkuasa tempatan dan pejabat Adun.
Liow juga menggesa kerajaan negeri mengambil tindakan yang lebih cepat, telus dan memudahkan rakyat dalam masa yang kritikal ini, terutamanya buat kumpulan B40.
Sementara itu, seorang ibu tunggal yang hanya ingin dikenali Siti berkata, pihak pengurusan bantuan tersebut tidak menyatakan garis panduan yang lengkap kepada pemohon.
“Bantuan tersebut tidak menyatakan tarikh agihan yang jelas dan hanya memaklumkan permohonan akan ditutup apabila PKP dan pandemik Covid-19 berakhir.
“Jika permohonan berjaya, proses untuk mendapat bantuan akan ambil masa kerana ia perlu dimaklumkan dahulu oleh wakil sebelum pembayaran dilakukan,” katanya ketika dihubungi.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai