Apa motif Kadir, soal duta khas ke China
Duta khas ke China, Tiong King Sing mempersoalkan motif wartawan veteran, A Kadir Jasin membangkitkan isu pencerobohan kapal China yang disifatkan beliau tidak kena pada masanya.
"Kapal asing disyaki melanggar perairan kita dari semasa ke semasa, dari zaman BN dan (kerajaan) Pakatan Harapan.
"Keputusan Kadir memilih masa ini untuk membangkitkan respon kerajaan terhadap pencerobohan ini membuatkan motifnya diragui," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Tiong merujuk kepada hantaran Kadir di halaman Facebooknya yang mendakwa pencerobohan dua kapal China di kawasan zon ekonomi eksklusif (EZZ) itu berlaku tidak lama selepas pelantikan Tiong sebagai duta khas bertaraf menteri.
Dakwaan Kadir itu bagaimanapun tidak tepat kerana Tiong dilantik pada 20 April manakala pencerobohan tersebut dilaporkan oleh Reuters pada 18 April.
"Ini kerja dialah. Selesaikan isu rumit dengan China. Bukan nak bangga dengan kedudukan dan ganjaran saja.
"Jangan jadi Duta Khas taraf Menteri "kong kali kong"," tulis Kadir yang merupakan penasihat media bekas perdana menteri, Dr Mahathir Mohamad.
Tiong berkata Perdana Menteri Muhyiddin Yassin dan Kementerian Hal Ehwal Luar Negeri perlu diberi ruang untuk menangani isu berkenaan.
"Yakinlah, kerajaan akan terus mencari jalan aman kepada isu-isu antarabangsa, dengan tujuan ke arah mewujudkan faedah bersama dan keputusan menang-menang untuk mencapai resolusi," kata Tiong.
Tiong yang juga anggota Parlimen Bintulu, berkata perhatian orang ramai sepatutnya tertumpu kepada usaha memerangi Covid-19.
Menurut Reuters, kapal penyelidik milik kerajaan China, Haiyang Dizhi 8, diapit oleh 10 buah kapal Cina yang lain dilihat 324km di pesisir pantai Malaysia, dalam zon ZFF Malaysia.
Kapal eksplorasi West Cappella yang dimiliki Petronas dan dua kapal perang Amerika Syarikat turut berada di kawasan itu pada masa berkenaan.
Walaupun AS menegur "tingkah laku membuli" China yang dipaparkan semasa kejadian itu, Menteri Luar Malaysia, Hishammuddin Hussein memilih pendekatan lebih diplomatik.
Hishammuddin memberi jaminan komunikasi secara "terbuka dan berterusan" melibatkan semua pihak yang berkaitan, termasuk Amerika Syarikat dan China.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai