Skip to main
Logo Malaysiakini

Bebas dari penculik, 5 nelayan jadi tebusan orang tengah pula

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Bagai terlepas dari mulut buaya kemudian masuk ke mulut singa. Itu mungkin boleh menjelaskan nasib dialami sekumpulan lima nelayan Indonesia yang berpangkalan di Sandakan, Sabah.

Mereka sudah dibebaskan oleh kumpulan Abu Sayyaf selepas tuntutan pengganas terbabit dipenuhi keluarga mangsa penculikan tersebut. Ia berlaku dengan campur tangan orang tengah.

Bagaimanapun memetik sumber risikan tidak dinamakan The Star Online melaporkan, nelayan terbabit kini ditahan oleh orang tengah berkenaan pula dan hanya akan membebaskan mereka jika dia diberi bayaran tambahan.

Kata sumber itu kumpulan penculik asal itu diketuai pemipin dikenali sebagai Apo Mike, manakala pihak ketiga yang menjadi perantara pula diketuai seorang wanita.

“Orang tengah sekarang menahan tebusan dan menuntut pembayaran tambahan.

“Rundingan kini sedang dilakukan dengan orang tengah yang berpusat di Jolo dan dipimpin seorang wanita dan pernah ada hubungan rapat dengan pemimpin Moro berpengaruh,” katanya.

Terdahulu seramai lapan warga Indonesia diculik di kawasan Tambisan, Lahad Datu, Sabah pada 17 Jan lalu dan tiga daripada mereka dibebaskan lebih awal berbanding bakinya yang dibawa ke Sulu di selatan Filipina.

Mangsa penculikan itu dikenali sebagai Arsyad Dahlan, 41; La Baa, 32; Riswanto Hayano, 27; Edi Lawalopo, 53; dan Syarizal Kastamiran, 29.

Kata sumber terbabit pihak ketiga yang sedang menahan lima nelayan berkenaan menuntut bayaran antara RM3 juta hingga RM4 juta semasa membuat panggilan kepada ahli keluarga mereka.

“Tidak diketahui adakah wang tebusan dibayar kepada geng Apo Mike sebelum kelima-lima mereka diserahkan,” jelasnya. 


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.