Skip to main
Logo Malaysiakini

Jangan leka Kelantan tiada kes baru Covid-19

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan mengingatkan penduduk agar tidak leka sebaliknya terus mematuhi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan penjagaan kesihatan diri meskipun negeri itu tidak mencatatkan sebarang kes positif baharu Covid-19 sejak 10 hari lalu.

Pengarahnya Dr Zaini Hussin berkata penduduk tidak sepatutnya mengambil mudah arahan PKP seperti tidak mengamalkan jarakan sosial serta memakai penutup hidung dan mulut apabila keluar rumah kerana jangkitan wabak Covid-19 masih boleh berlaku.

"Jika diisytiharkan zon hijau sekali pun, jangan abaikan jarakan sosial serta kebersihan diri yang lain kerana kebolehjangkitan semula Covid-19 masih boleh berlaku. Jangan ambil mudah perkara ini," katanya kepada pemberita selepas menerima 15 unit peralatan perlindungan diri (PPE) dan 50 pasang kasut untuk diserahkan kepada petugas barisan hadapan kesihatan di Kota Bharu hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan sesetengah pihak mengenai sikap masyarakat negeri itu yang mula mengambil mudah perkara tersebut terutama di pasar awam seolah-olah situasi wabak Covid-19 sudah pulih.

Mengulas lanjut, Dr Zaini berkata Kelantan belum lagi diisytiharkan sebagai zon hijau oleh Kementerian Kesihatan walaupun situasi semakin baik.

"Ada beberapa prosedur yang perlu dipatuhi sebelum boleh kementerian mengisytiharkan sesuatu tempat itu sebagai zon hijau dan ini yang perlu diperjelaskan kepada rakyat," katanya.

Beliau juga berkata masih terdapat lima pesakit yang dijangkiti wabak itu di beberapa hospital di Kelantan dan keadaan mereka dilaporkan semakin baik.

Dr Zaini berkata mereka kini ditempatkan di wad biasa dan perlu menjalani beberapa ujian lagi sebelum disahkan sembuh sepenuhnya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada seluruh barisan hadapan termasuk pihak yang membantu menyediakan PPE serta sumbangan lain dan ini membuktikan bahawa semua pihak bersatu padu memerangi wabak tersebut.

Kelantan sebelum ini mencatatkan 155 kes positif Covid-19 dengan tiga kematian.

- Bernama


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.