Skip to main
Logo Malaysiakini

PKPD: Tamat di Simpang Renggam, lanjut lagi di Sg Lui

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Perintah kawalan pergerakan diperketatkan (PKPD) di Kg Datuk Ibrahim Majid dan Bandar Baharu Datuk Ibrahim Majid di Simpang Renggam, Kluang, akan tamat esok 28 April 2020, maklum Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

“Maknanya segala sekatan, lockdown dan sebagainya akan ditarik balik di PKPD Simpang Renggam ini," kata beliau pada sidang media di Putrajaya hari ini. 

Dua petempatan tersebut berada di bawah PKPD sejak 27 Mac lalu, yang mana penduduk tidak dibenarkan meninggalkan rumah dan bukan penduduk dilarang masuk ke kawasan itu.

Dua kawasan itu menempatkan 3,570 orang penduduk daripada 650 keluarga.

Bagaimanapun, PKPD di Sungai Lui, Selangor yang bermula pada 29 Mac lalu dilanjutkan sehingga 5 Mei ini.

PKPD ini cuma terhad di Maahad Tahfiz An-Nabawiyyah dan sebuah rumah di Batu 23, Kampung Payar Lebar.

Kawasan lain di Sungai Lui tidak lagi berada di bawah PKPD sejak 5 April lalu.

Setakat ini kawasan PKPD lain ialah di Selangor Mansion dan Malayan Mansion di Kuala Lumpur dan kawasan di pasar borong Selayang.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.