Skip to main
Logo Malaysiakini

Seramai 1,128 pelajar unversiti balik kampung mulai malam ini

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seramai 1,128 pelajar institusi pengajian tinggi akan dihantar balik ke kampung masing dalam tempoh 24 jam bermula malam ini, kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob.

Daripada jumlah itu, seramai 863 pelajar akan dihantar pulang dari zon tengah ke zon utara malam ini, manakala 265 pelajar akan dihantar pulang dari zon utara ke zon tengah pada malam esok.

“Proses penghantaran pulang itu melibatkan sembilan universiti, 49 buah bas, ke 17 destinasi.

“Bas akan disanitasi tiga jam sebelum bertolak ke destinasi, selain bagasi yang dibawa pelajar terbabit juga akan disanitasi,” katanya pada sidang media harian mengenai PKP di Putrajaya hari ini.

Beliau berkata setibanya pelajar di ‘drop-off’ point sekitar jam 9 pagi esok, hanya seorang ahli keluarga yang mempunyai kenderaan dibenarkan mengambil pelajar tersebut, manakala bagi mereka yang tiada kenderaan, pihak barisan hadapan akan menghantar pelajar terus ke rumah masing-masing.

Ismail Sabri berkata, makan-minum para pelajar tersebut akan disediakan semasa perjalanan.

Dalam pada itu beliau berkata, penghantaran pulang pelajar ke Sarawak dan Sabah pula akan dilakukan bermula 1 Mei ini.

Ismail Sabri sebelum ini menyatakan penghantaran pulang itu dijangka membabitkan 85 peratus atau 53,000 pelajar, dengan kerajaan terus menyediakan makan-minum 15 peratus yang memilih untuk tidak pulang.

Semalam, Menteri Pengajian Tinggi Noraini Ahmad dalam kenyataan menyebut, pelajar yang berada dalam zon hijau sahaja dibenarkan pulang ke kampung mereka yang juga terletak dalam zon hijau.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.