Skip to main
Logo Malaysiakini

Perkeso beri garis panduan saringan Covid-19 hari ini

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) hari ini akan mengeluarkan garis panduan mengenai pemeriksaan saringan Covid-19 untuk pekerja yang dibenarkan bekerja semasa perintah kawalan pergerakan (PKP), kata Ketua Pegawai Eksekutifnya Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Dalam maklum balas melalui e-mel kepada Malaysiakini hari ini, Azman memaklumkan bahawa Perkeso akan memperkenalkan Program Saringan Prihatin (PSP) hari ini, selepas perbincangan dengan pelbagai pihak.

"Perkeso mengeluarkan panduan dan prosedur untuk ujian Covid-19 bagi pekerja di bawah PSP Perkeso hari ini.

"Perkeso telah berbincang dengan pelbagai pihak sebelum membuat garis panduan ini," kata Azman.

Azman berkata demikian sebagai respons terhadap dakwaan bekas timbalan menteri perdagangan antarabangsa dan industri (Miti), Ong Kian Ming bahawa Perkeso belum membuat dasar mengenai pemeriksaan Covid-19 untuk pekerja di industri yang mendapat pengecualian dari kerajaan untuk beroperasi dalam tempoh PKP.

Dalam catatan di akaun Twitternya pada 22 April, Ong mendakwa bahawa Perkeso belum membuat dasar itu bermaksud ujian massa belum tersedia untuk pekerja di industri yang mendapat lampu hijau dari Miti untuk beroperasi semasa PKP.

Pada 16 April, Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Mohamed Azmin Ali mengumumkan bahawa semua pekerja syarikat yang dibenarkan beroperasi semasa PKP mesti disaring untuk Covid-19.

Azmin berkata ujian mesti dilakukan di klinik panel Perkeso dan kosnya akan ditanggung oleh Perkeso.

Sementara itu, berkaitan dengan kebimbangan yang timbul mengenai penggunaan dana milik Perkeso untuk menanggung kos PSP, Azman hari ini menjelaskan bahawa penggunaan tersebut sesuai dengan objektif utama pertubuhan itu bagi memastikan keselamatan dan kesihatan dalam bidang pekerjaan.

Azman menjelaskan bahawa wabak Covid-19 belum pernah terjadi sebelum ini dan PSP sesuai dengan objektif kerajaan memastikan pekerja yang bekerja dalam tempoh PKP bebas daripada jangkitan Covid-19.

"Apa yang dilakukan oleh Perkeso adalah menyokong keselamatan dan kesihatan pekerjaan, yang merupakan salah satu aktiviti utama kami. PSP adalah salah satu aktiviti pencegahan kami, seperti Program Pemeriksaan Kesihatan Perkeso (HSP) untuk mengenal pasti penyakit tidak berjangkit (NCD) di kalangan pekerja.

"PSP bertujuan untuk memastikan pekerja tidak terdedah kepada jangkitan Covid-19, seterusnya memastikan tempat kerja yang selamat dan sihat," kata Azman.

Baru-baru ini, beberapa pihak menimbulkan kebimbangan mengenai pengurangan dana Socso untuk menanggung kos saringan Covid-19.

Pada 17 April, Setiausaha Agung Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) J Solomon berkata Azmin dan kerajaan lupa bahawa Perkeso adalah dana pampasan pekerja yang dikendalikan dengan sumbangan bulanan dari pekerja dan juga majikan.

Pada 20 April, Persatuan Pengguna Pulau Pinang (CAP) dilaporkan menggambarkan idea Perkeso memasukkan dana untuk penyaringan Covid-19 sebagai "idea mengerikan".