Skip to main
Logo Malaysiakini

SC mohon bantuan Interpol bagi buru ahli perniagaan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Suruhanjaya Sekuriti (SC) meminta bantuan orang awam sekiranya mempunyai maklumat mengenai keberadaan seorang individu yang dikehendaki berkaitan dengan kesalahan di bawah undang-undang pencegahan pengubahan wang haram.

Dalam kenyataan hari ini, SC berkata individu itu Wong Shee Kai yang juga dikenali sebagai Ricky Wong dikehendaki di bawah Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.

Carian ini berikutan waran tangkap yang dikeluarkan terhadap Wong oleh Mahkamah Majistret Kuala Lumpur pada 27 Dis tahun lepas, yang gagal hadir di hadapan pegawai penyiasat SC seperti ditetapkan undang-undang.

“Jika didapati melanggar Seksyen 32 (3)(a) undang-undang pencegahan pengubahan wang haram, Wong akan, jika disabit kesalahan, boleh dihukum denda tidak melebihi RM3 juta, penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya di bawah Seksyen 32(8) akta sama,” menurut kenyataan itu, yang turut menyatakan SC turut mendapatkan bantuan Interpol pada 3 April untuk mencari ahli perniagaan itu.

Wong, yang bergelar Datuk ialah pengasas Asia Media Group Sdn Bhd.

Menurut SC, alamat terakhir Wong yang diketahui adalah pejabat syarikatnya di No. 35, First Floor, Jalan Bandar 16, Pusat Bandar Puchong, 47100 Puchong, Selangor.

Mereka yang mempunyai maklumat tentang keberadaannya diminta menghubungi 012-3812497 / 012-9105362 atau e-mel kepada SC di [email protected].

SC memberi jaminan maklumat diterima daripada orang awam akan dilindungi di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.

- Bernama