Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis Perak tak longgarkan kawalan di zon hijau, kuning

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis Perak tidak akan melonggarkan kawalan dan penugasan bagi pelaksanaan perintah kawalanpPergerakan (PKP) di kawasan yang diklasifikasikan sebagai zon hijau (tiada kes Covid-19) atau kuning (terhad kepada beberapa kes tempatan) di negeri ini.

Ketua Polis Perak Razarudin Husain berkata sekatan jalan raya (SJR) dan pemeriksaan secara 'snap-check' akan tetap diadakan di kawasan zon hijau serta kuning bagi memastikan pematuhan kepada PKP pada kadar lebih 95 peratus.

"Untuk kesejahteraan warga Perak sekatan jalan raya dan snap-check akan tetap diteruskan kerana kita mahu klasifikasi zon hijau dan kuning itu tahan (kekal) lama dan tiada lagi rantaian penularan (Covid-19)," katanya kepada pemberita selepas berbuka puasa bersama anggota terlibat penugasan SJR di Ipoh, malam ini.

Sejak PKP dilaksanakan bermula 18 Mac lalu, polis kontinjen Perak mengadakan sekurang-kurangnya 96 SJR setiap hari selain mempunyai lebih 300 pasukan 'snap-check' di seluruh negeri.

Sebelum ini, tiga daerah iaitu Muallim, Kuala Kangsar dan Kampar diklasifikasikan sebagai bebas Covid-19 berikutan tiada jangkitan kes dalam tempoh 14 hari.

Razarudin juga mengingatkan orang ramai agar hanya seorang sahaja ketua keluarga dibenarkan untuk keluar termasuk membeli keperluan harian dan tindakan tegas akan dikenakan ke atas mereka yang didapati melanggar arahan itu.

Beliau ditanya mengenai tindakan segelintir pihak yang keluar lebih daripada seorang termasuk suami isteri secara berasingan, demi melepaskan diri daripada ditahan, tetapi kemudian memasuki pasar raya dan membeli barangan bersama.

- Bernama