Skip to main
Logo Malaysiakini

PKP: Warga asing turut berniaga makanan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Masyarakat ketika ini diminta duduk di rumah dan tidak dibenarkan ‘ke sana ke sini’ tanpa alasan yang munasabah berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak 18 Mac lepas.

Tempoh ‘berkurung’ itu pastinya menimbulkan pelbagai keinginan di hati dan antaranya ialah makanan terutama dalam bulan Ramadan ini. Lebih enak lagi jika makanan idaman itu adalah ‘original’ dan disediakan oleh mereka yang berasal dari negara berkenaan.

Maka tidak hairanlah ramai warga asing turut mengambil kesempatan mengusahakan perniagaan makanan dengan menampilkan hidangan yang amat menyelerakan dari negara masing-masing sekali gus memikat selera masyarakat berbilang kaum di negara ini.

Tambahan pula dengan menggunakan perkhidmatan kurier dan penghantaran, semua urusan menjadi lebih mudah dan hanya di hujung jari sekali gus sudah cukup untuk memuaskan perut masing-masing.

Tidak terkecuali pemiliki I Cook Arabs, Afif Al Haji, 39, yang menyediakan sendiri pelbagai jenis manisan dari Asia Barat seperti Golden Kanafeh, Baklava, Basbousa Royal dan Esh El Bul-Bul selain produk sampingan yang diimport dari Turki seperti Mixed Delights dan Premium Turkish Delights, yang pastinya mempunyai keunikan serta keenakan tersendiri.

Lebih istimewa, beliau turut menawarkan Biskut Maamoul Arab iaitu sejenis kuih Arab yang biasanya dihidangkan pada Ramadan dan Aidilfitri di Asia Barat, sempena bulan puasa ini.

Malah beliau memaklumkan bahawa setiap bahan yang digunakan juga sangat berkualiti tinggi seperti penggunaan keju Akkawi bermutu yang hanya diimport dari negara Asia Barat demi menjaga kualiti makanan terbabit sejak memulakan perniagaan hampir tiga tahun lepas.

“Saya membuat sendiri semua manisan ini sambil dibantu tujuh pekerja yang turut diimport khas dari negara Arab. Kami sangat menekankan penggunaan bahan kerana itu yang membuatkan produk kami sangat istimewa,” katanya pada Bernama.

Bahkan Afif yang berasal dari Syria turut mengakui permintaan terhadap produknya meningkat sehingga dua kali ganda di seluruh negara, selain Singapura dan Brunei, sepanjang tempoh PKP berkuat kuasa sejak lebih sebulan lepas.

“…walaupun harganya sedikit mahal, tapi mungkin juga kerana manisan ini ‘kena’ dengan selera masyarakat selain ramai yang tidak menjualnya,” kata beliau yang menetap di Malaysia sejak 2009.

Turut mendapat manfaat ialah Abd Rahman Miasan, 55, pengusaha asing dari Pekanbaru, Indonesia yang menjual pelbagai jenis apam balik yang menjadi mata pencariannya sejak lebih 30 tahun lepas.

“Sejak dahulu, saya berniaga di pasar malam di sekitar Kajang dan Bangi. Tapi buat masa ini, saya hanya ambil tempahan secara dalam talian atau WhatsApp kerana PKP.

“Walaupun cara pesanan sedikit berlainan, saya masih lagi kekalkan harganya antara RM3 dan RM7 mengikut jenis perisa dan tambahan ‘topping’ serta caj tambahan untuk khidmat penghantaran,” katanya.

Sementara itu, keadaan yang sukar membuatkan Walaa Alawawda, 24, terpaksa menceburkan diri untuk berniaga makanan secara kecil-kecilan melalui laman Facebooknya sejak lebih sebulan lepas.

Berbekalkan kemahiran memasak, ibu kepada tiga cahaya mata itu menawarkan pelbagai hidangan seperti Maqloba, Shawerma, Faifel, Maqloba Rice, Qatef, Barbosa Sweet dan Khaliat Alnahl Beef dari tanah kelahirannya, Palestin.

Beliau mencuba nasib dalam bidang jualan makanan kerana suaminya tidak dapat bekerja susulan keputusan kerajaan Malaysia menguatkuasakan PKP, tambahan pula mereka mempunyai tiga anak yang masih kecil dan perlu membayar sewa rumah.

Walaupun jualannya tidak begitu ‘meriah’, Waala bersyukur permintaan ke atas produknya tetap ada terutama di sekitar Ampang.

-Bernama

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.