Skip to main
Logo Malaysiakini

Kantoi bawa ganja ketika sekatan jalan raya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang penunggang motosikal ditahan selepas polis menemukan sebuah bekas berisi ketulan mampat daun kering disyaki ganja di dalam begnya ketika melalui sekatan jalan raya (SJR) di persekitaran Tesco Rawang, dekat Kuala Lumpur, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Arifai Tarawe berkata sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak telah menahan suspek lelaki pada kira-kira 10.30 pagi semalam.

Beliau berkata selain dadah yang ditemukan di dalam beg suspek, polis turut menjumpai sebatang rokok gulung dan suspek gagal memberikan alasan munasabah berada di luar dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

“Polis telah merampas barang kes itu dan membawa suspek ke IPD Gombak untuk tindakan selanjutnya," katanya kepada Bernama, hari ini.

Arifai berkata suspek akan direman hari ini manakala kes disiasat mengikut Seksyen 6 Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan Seksyen 269 Kanun Keseksaan serta Peraturan 11 di bawah Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Pengisytiharaan Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

-Bernama

Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.