Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Sibuti dilantik sebagai pengerusi baru SEDA

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Lukanisman Awang Sani dilantik sebagai pengerusi baharu Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari (SEDA) Malaysia berkuat kuasa 16 April lepas.

SEDA dalam kenyataan hari ini memaklumkan organisasi itu mengalu-alukan kepimpinan Lukanisman bagi membawa agenda tenaga lestari ke tahap lebih tinggi.

Lukanisman memulakan kerjanya sebagai penjawat awam iaitu Pegawai Maklumat Parlimen di bawah Jabatan Hal Ehwal Khas (JASA) dan menamatkan perkhidmatannya sebagai Ketua Bahagian jabatan itu.

Beliau juga merupakan Ahli Parlimen Sibuti dan aktif mengambil bahagian dalam isu-isu seperti sekolah usang, Perjanjian Malaysia 1963, Reformasi Parlimen, Agenda Belia, Pembangunan Luar Bandar, Ekonomi Digital, Pendidikan Teknikal dan Latihan Vokasional (TVET) serta dasar-dasar Sains.

Selain itu, Lukanisman juga Ahli Kaukus Belia Parlimen yang menganjurkan ceramah kesedaran mengenai suara orang muda dan kepimpinan untuk reformasi Parlimen. Beliau juga dianugerahkan pelbagai anugerah iaitu Pingat Johan Bintang Kenyalang (JBK), Pingat Ahli Bintang Kenyalang (ABK) dan Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) bagi tahun 2010, 2012 dan 2015.

Beliau sangat komited dalam kerja-kerja sosial dan membida secara aktif untuk Gua Niah diiktiraf sebagai satu daripada tapak Warisan Dunia UNESCO.

SEDA Malaysia ialah badan berkanun yang melaporkan kepada Kementerian Tenaga dan Sumber Asli (KeTSA), ditubuhkan pada September 2011 di bawah Akta SEDA 2011 (Akta 726) dengan tujuan utama memacu agenda tenaga boleh diperbaharui dan kecekapan tenaga di negara ini.

- Bernama