Skip to main
Logo Malaysiakini

Polis buka empat kertas siasatan isu Rohingya

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis menerima 19 laporan berhubung isu Rohingya, kata Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob.

Susulan itu, kata Ismail, polis telah membuka empat kertas siasatan.

"Sehingga semalam, 19 laporan polis telah dibuat berkaitan (isu) Rohingya. Pihak polis telah membuka empat kerta siasatan," katanya dalam sidang media di Putrajaya hari ini.

Ismail bagaimanapun tidak memberikan perincian berhubung perkara itu dan Malaysiakini telah menghubungi polis untuk mendapatkan maklumat tambahan.

Xenofobia (prejudis terhadap orang lain) semakin marak di media sosial susulan laporan mengenai pelarian Rohingya, termasuk laporan yang tidak disahkan yang mendakwa mereka menuntut hak yang sama dan status kewarganegaraan Malaysia.

Sebelum ini, Presiden Pertubuhan Hak Asasi Manusia etnik Rohingya Myanmar Malaysia, Zafar Ahmad Abdul Gani yang dikaitkan dengan tuntutan itu menafikan membuat tuntutan berkenaan dan mendakwa bahawa dia telah menerima ancaman bunuh atas tuduhan palsu itu, memaksanya menutup akaun Facebook.

Gabungan 17 kumpulan yang berkaitan dengan Rohingya yang berpusat di Myanmar dan Malaysia mengecam dakwaan yang dikatakan dibuat oleh Zafar.

Gabungan itu juga meminta maaf kepada kerajaan dan rakyat Malaysia secara umum atas kenyataan yang dikaitkan dengan Zafar.

Awal hari ini, Malaysiakini melaporkan bahawa duta besar Malaysia untuk Majlis Rohingya Eropah Tengku Emma Zuriana Tengku Azmi telah menerima ancaman rogol.

Ini terjadi setelah aktivis hak asasi manusia itu meminta kerajaan membatalkan dasar menolak pelarian Rohingya yang memasuki perairan negara.

Tengku Emma telah membuat laporan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenai ancaman tersebut.

NGO dan ahli politik juga telah menyatakan keprihatinan dan mengutuk serangan xonofobia berkenaan.

Semalam, Ismail meminta semua pihak bertenang dan memberi jaminan kepada rakyat Malaysia bahawa pihak berkuasa meneliti video yang didakwa memaparkan pelarian Rohingya.

Ismail berkata rakyat Malaysia telah menyambut pelarian Rohingya selama bertahun-tahun tanpa rasa bimbang kerana simpati terhadap penderitaan yang mereka hadapi di Myanmar.

"Tetapi akhir-akhir ini dalam tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP), masalah ini tiba-tiba timbul," tambahnya.