Skip to main
Logo Malaysiakini

Peniaga, pemborong Pasar Borong KL perlu jalani saringan Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Kanan Ismail Sabri Yaakob berkata bahawa Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menetapkan agar semua pemborong dan peniaga di Pasar Borong Kuala Lumpur di Selayang untuk membuat ujian saringan Covid-19.

Ia susulan terdapat kes positif Covid-19 di pasar borong itu.

"Di Pasar Borong Selayang, kita dapati ada kes positif Covid-19. Jadi, KKM telah pun membuat arahan bahawa semua pemborong dan semua peniaga mesti melalui ujian kesihatan iaitu swab test," katanya dalam sidang media harian di Putrajaya hari ini.

Menurutnya, pemborong dan peniaga hanya akan dibenarkan untuk menjalankan perniagaan setelah mendapat surat pengesahan negatif Covid-19 dari pusat kesihatan.

Beliau berkata demikian ketika apabila diminta mengulas berhubung tindakan seterusnya di Pasar Borong Kuala Lumpur dan pasar awam yang lain yang dikenal pasti sebagai kawasan penularan wabak Covid-19.

"Ini telah pun diarahkan. Dan mereka yang mempunyai kad ataupun pengesahan daripada hospital, klinik swasta atau mana-mana klinik yang mereka pergi setelah mendapat surat yang mengatakan mereka bebas mereka negatif covid-19 baru dibenarkan untuk menjalankan perniagaan," katanya.

Tambahnya, pemandu-pemandu lori untuk mengambil produk atau pun barangan daripada pasar borong itu ke tempat lain juga perlu melakukan ujian swab.

Sementara itu, Ismail berkata bahawa KKM juga sedang mengesan mereka yang mempunyai kontak dengan kes positif di Pasar Borong Kuala Lumpur.

"Saringan ujian kesihatan juga iaitu swab test akan dilakukan kepada mereka (kontak). Dan kita dapati ada satu pasar di tempat lain akan dipastikan peniaga-peniaga dijalankan ujian kesihatan.

"Jadi mana yang ada kaitan akan dilakukan saringan kesihatan Covid-19 ujian swab sama ada di pasar borong dan di pasar lain mempunyai hubungan dengan pemborong di Pasar Borong Selayang," katanya.