Skip to main
Logo Malaysiakini

MB Perak harap kes Noor Azmi, Razman jadi pengajaran

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Menteri Besar Perak, Ahmad Faizal Azumu berharap keputusan mahkamah mengenakan denda ke atas Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali dan Exco Kerajaan Perak, Razman Zakaria kerana melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) dijadikan pengajaran dan tidak dipolitikkan.

Malah katanya, keputusan mahkamah itu juga menunjukkan bahawa sistem perundangan di negara ini adalah telus.

"Keputusan mahkamah hari ini menunjukkan bahawa sistem kehakiman kita adalah telus, tanpa mengira sesiapa.

"Saya berharap semua pihak akan mematuhi perintah kawalan pergerakan ini kerana kita mesti sedar bahawa kawalan ini dibuat adalah semata-mata demi kepentingan rakyat untuk memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Saya harap perkara ini tidak lagi dipolitikkan, tindakan telah diambil.

"Saya berharap perkara ini akan menjadi pengajaran kepada semua rakyat agar menurut PKP ini dengan serius," katanya dalam kenyataan media, di Ipoh, hari ini.

Terdahulu, Noor Azmi didenda RM1,000 atau penjara sebulan oleh Mahkamah Majistret di Gerik hari ini kerana melanggar PKP dengan menghadiri satu jamuan dua minggu lepas.

Turut dikenakan hukuman yang sama ialah Exco Pendidikan, Pembangunan Modal Insan, NGO dan Masyarakat Sivil Perak Razman Zakaria serta 13 individu lain.

Ahmad Faizal berkata, susulan itu beliau berharap kedua-dua pemimpin itu dapat meneruskan tanggungjawab mereka untuk berkhidmat kepada negara negara dan negeri.

"Saya berharap timbalan menteri kesihatan dan exco kerajaan negeri dapat meneruskan tanggungjawab mereka berkhidmat untuk negara dan negeri dengan mengikut lunas-lunas undang-undang sedia ada," katanya.