Skip to main
Logo Malaysiakini

MP Klang disiasat dakwaan ingkar PKP waktu edar bantuan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Polis telah menyoal MP DAP Charles Santiago mengenai dakwaan melanggar perintah kawalan pergerakan (PKP) berkaitan dengan program pengagihan bantuan anjuran pejabatnya pada hujung minggu lalu.

Anggota Parlimen Klang berkata beliau dan pembantunya Mugheelan Sellathoray telah hadir ke ibu pejabat polis daerah Klang Utara hari ini untuk merakam kenyataan mereka.

"Kami sedang disiasat atas tuduhan melanggar PKP," katanya kepada Malaysiakini.

Ketua Polis Daerah Klang Utara, Nurulhuda Mohd Salleh dalam satu kenyataan berkata pegawainya telah menerima makluman orang ramai berkumpul di balai raya Jalan Sungai Keramat 9, Taman Klang Utama, sekitar jam 10.30 pagi Ahad.

Kira-kira 300 orang ditemui di tempat kejadian bersama Charles dan sekumpulan sukarelawan yang mengagihkan bantuan.

"Hasil siasatan mendapati pihak penganjur ada mengemukakan surat kebenaran daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk menjalankan ativiti pada 27 April 2020 tetapi aktiviti tersebut telah dijalankan pada 26 April 2020.

"Pihak polis juga mendapati tiada anggota Rela ataupung Angkatan Pertahanan Amwam (APM) yang berada di situ untuk mengawal aktiviti tersebut.

"Keadaan pada masa itu juga mendapati tiada penjarakan sosial (satu meter) dan kaedan pemberian sumbangan juga tidak disusun dengan teliti," katanya.

Charles pada kenyataan berasingan, menegaskan langkah berjaga-jaga telah diambil walaupun dengan ketiadaan anggota keselamatan, termasuk penanda di lantai untuk menunjukkan jarak sosial satu meter.

Perlu izin polis

Jelasnya, pengagihan bantuan dilakukan terlebih dahulu kerana bekalan hasil pertanian mereka dari Cameron Highlands dikirim lebih awal dari yang dijangkakan.

"Perkara ini telah disampaikan secara efektif kepada JKM, yang memaklumkan pihaknya tidak dapat menyediakan Rela dalam waktu singkat dan JKM telah dimaklumkan bahawa sukarelawan kami akan berada di sana.

"Ketika polis tiba, kami sedang mengedarkan bantuan makanan, mereka mengatakan kami memerlukan izin polis, hujah yang dibantah, malahan oleh JKM," tambahnya.

Sejak PKP mula dikuatkuasakan pada 18 Mac, Charles berkata pusat khidmat masyarakatnya telah mengedarkan bantuan makanan kepada 10,500 keluarga di kawasan tersebut.

Beliau selanjutnya menggesa kerajaan dan pihak berwajib untuk menyambut baik usaha oleh setiap anggota parlimen dan masyarakat sivil untuk membantu orang yang memerlukan dalam tempoh ini dan bukannya mengenakan lebih banyak sekatan.

"Saya harap polis akan bersama-sama berbincang dengan JKM untuk membuat protokol yang tepat.

"Tetapi lebih daripada itu, saya berharap pemerintah dan pihak berkuasa akan membiarkan kami meneruskan pekerjaan kami untuk berkhidmat kepada rakyat yang mengundi kami," tambahnya.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob sebelum ini berkata wakil rakyat dibenarkan menjalankan program di kawasan mereka ketika tempoh PKP tetapi perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) untuk mengekang Covid-19.

SOP itu antaranya menyatakan bahawa program mesti dijalankan secara kecil-kecilan dengan jumlah kehadiran orang yang sedikit.

[Baca berita asal]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.