Skip to main
Logo Malaysiakini

Inspektor ditahan dakwaan rogol, akan dituduh kes pemerdagangan manusia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pegawai polis yang ditahan atas dakwaan merogol dua wanita Mongolia akan dikenakan pertuduhan pemerdagangan manusia dengan menyalahgunaan kuasanya, kata Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Nik Ezanee Mohd Faisal.

Nik Ezanee berkata, pegawai yang berpangkat inspektor itu akan didakwa mengikut Seksyen 13 (f) Akta Anti Pemerdagangan Orang dan Anti Penyeludupan Migran 2007 di Mahkamah Klang esok.

"IP (kertas siasatan) 376 (rogol) ada bersama pihak pendakwaan. Sedang menunggu keputusan dan arahan mereka," kata Nik Ezanee kepada pemberita hari ini.

Pegawai berusia 30 tahun itu sebelum ini ditahan di sekatan jalan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Petaling Jaya pada 11 April, sebelum dibebaskan dengan jaminan polis.

Penangkapan itu susulan siasatan awal polis berdasarkan maklumat bahawa dua wanita Mongolia itu, yang awalnya dihentikan di suatu sekatan jalan raya PKP yang lain di Petaling Jaya. Wanita Mongolia itu dilaporkan kemudiannya telah ditahan bertentangan dengan kehendak mereka di sebuah premis hotel di Petaling Jaya.

Nik Ezanee pada masa yang sama berkata pihak polis juga akan menjalankan siasatan terhadap jaringan kegiatan maksiat yang disyaki terlibat dalam pemerdagangan dua wanita itu.

[Baca berita asal]