Skip to main
Logo Malaysiakini

Tinjauan: Warga AS tak lagi percaya kenyataan Trump tentang Covid-19

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

GLOBAL | Rakyat Amerika Syarikat (AS) dilihat hilang kepercayaan terhadap kenyataan presidennya Donald Trump berhubung wabak Covid-19, menurut satu tinjauan seperti dilapor Reuters.

Tinjauan yang dilakukan Reuters dengan firma pandangan awam dan kajian pemasaran Ipsos itu juga mendapati hampir semua responden menolak cadangan Trump berkenaan Covid-19 mungkin boleh dirawat dengan menyuntik pembasmi kuman dalam badan.

Menurut tinjauan itu, kurang separuh daripada warga dewasa AS - atau 47 peratus - berkata mereka "sangat" atau "sedikit" mungkin akan mengikut sebarang syor Trump berkenaan wabak itu.

Kadar itu menurun 15 peratus berbanding peratusan yang berkata akan mengikuti nasihat Trump, dalam tinjauan yang diadakan akhir bulan lalu.

Sementara itu, 98 peratus responden - atau hampir semua - berkata mereka tidak akan cuba menyuntik pembasmi kuman jika dijangkiti wabak tersebut.

Tinjauan itu juga menyatakan kebanyakan warga AS bimbang akan penularan wabak itu, ketika jumlah kes positif di negara itu sudah mencecah sejuta, dengan 56,000 kematian.

Bagaimanapun, populariti Trump secara keseluruhan tampak tidak banyak berubah, dengan 43 peratus responden menerima pencapaiannya secara keseluruhan, dan caranya mengendalikan pandemik itu.

Dalam sidang media minggu lalu, Trump menyuarakan kemungkinan pembasmi kuman dapat "membersihkan" bahagian dalam tubuh pesakit Covid-19, dan mengarahkan pegawai kesihatan untuk mengkajinya.

Bagaimanapun kenyataan itu segera mengundang bantahan pakar perubatan, serta pengeluar pembasmi kuman turut mengeluarkan arahan agar tiada sesiapa yang berbuat demikian.

Trump kemudian menjelaskan kenyataan tersebut berbentuk sindiran, tetapi pegawai kesihatan menyuarakan kebimbangan jika ada rakyat negara itu yang melakukannya.