Skip to main
Logo Malaysiakini

Dua tahun dituduh rogol anak kandung bawah umur

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Seorang pemandu lori didakwa di Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Kelantan, hari ini, atas 22 dakwaan merogol dan satu kes amang seksual terhadap anak kandungnya berusia 16 tahun sejak dua tahun lalu.

Tertuduh berusia 52 tahun itu didakwa melakukan perbuatan terkutuk itu bermula 16 Disember 2018 hingga 9 April 2020 antara jam 3 pagi hingga 12.30 tengah malam bertempat di dalam bilik sebuah rumah di Rantau Panjang, Pasir Mas, Kelantan.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh berdepan dengan 22 pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan yang boleh dihukum penjara selama tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta sebatan tidak kurang daripada 10 sebatan jika disabit kesalahan.

Dalam pertuduhan yang dibacakan oleh Timbalan Pendakwa Raya Kelantan, Wan Nurul Hanini Wan Ahmad Shukri itu juga, tertuduh didakwa melakukan amang seksual.

Dia juga didakwa Seksyen 14(a) Akta Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-kanak 2017 dan dibaca bersama dengan Seksyen 16(1) akta yang sama kerana melakukan amang seksual yang didakwa berlaku pada 1 April 2020 sekitar jam 5.30 petang di lokasi sama.

Pertuduhan tersebut dibaca di depan Pendaftar Mahkamah Sesyen Pasir Mas, Rozaidi Yaakob.

Terdahulu, Wan Nurul Hanini tidak menawarkan sebarang jaminan terhadap semua pertuduhan.

Tertuduh bagaimana mengaku tidak bersalah di atas kesemua pertuduhan dan kes akan disebut semula pada 12 Jun.

Dia hadir ke mahkamah dengan berkait pelikat, berkemeja T merah dan memakai penutup mulut pembedahan.