Skip to main
Logo Malaysiakini

Ibu bapa mula kerja, k'jaan teliti SOP buka pusat jagaan anak

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Memandangkan ramai orang dibenarkan kembali bekerja pada fasa keemapat perintah kawalan pergerakan (PKP), kerajaan sedang meniliti prosedur operasi standard (SOP) untuk membuka semula pusat penjagaan kanak-kanak.

Pada sidang media di Putrajaya hari ini, Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Ismail Sabri Yaakob berkata kerajaan akan membincangkan perkara tersebut pada mesyuarat esok.

"Kitapun faham, ada parents bekerja, tak ada siapa jaga anak di rumah. 

"Perkara ini yang akan kita bincangkan esok untuk keluarkan SOP yang lebih detail. Kita tunggu," katanya.

Pusat jagaan kanak-kanak antara perkhidmatan yang masih tidak dibenarkan beroperasi di bawah PKP yang bermula pada 18 Mac.

Sementara itu, Ismail berkata kerajaan juga sedang mempertimbangkan permintaan lain dan dijangka akan melonggarkan sekatan pada fasa keempat PKP ini.

Kementerian lain dijadualkan akan mengumumkan SOP berkaitan masing-masing, jelasnya lagi.

PKP fasa keempat yang bermula hari ini membenarkan syarikat-syarikat yang diluluskan oleh Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (Miti) untuk beroperasi dalam kapasiti penuh dan bukan 40 peratus seperti sebelumnya.

Syarikat berkenaan juga dibenarkan beroperasi tanpa batasan pada waktu operasi berdasarkan keperluan industri mereka.

Malam ini, Ismail juga mengumumkan akan ada wawancara khusus dengan Menteri Kerja Raya Fadillah Yusof yang mana beliau dijangka akan menjawab beberapa masalah kontraktor berkaitan PKP.

Esok, Menteri Hal Ehwal Islam Zulkifli Mohamad akan menjelaskan mengenai persoalan amalan ibadah selama bulan Ramadhan di bawah PKP.

Ismail juga mengesahkan beliau telah menerima surat permohonan daripada Menteri Belia dan Sukan, Reezal Merican Naina Merican supaya membenarkan liga bola sepak berlangsung di bawah PKP.

[Baca berita penuh]


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.