Skip to main
Logo Malaysiakini

Tiada warga asing, PATI dibenarkan keluar Malaysia

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Tiada warga asing, termasuk pendatang tanpa izin (PATI), yang dibenarkan keluar dari Malaysia atau dihantar pulang ke negara asal sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Sebaliknya, kata Menteri Kanan (Keselamatan), Ismail Sabri Yaakob, berkata mereka yang masih berada di negara ini akan dihantar ke depoh tahanan.

"Kita juga sudah menyediakan 11 penjara khas yang diwartakan sebelum ini.

"Jika depoh tidak mampu menampung (PATI), kita akan meletakkan mereka di dalam penjara khas bawah Kementerian Dalam Negeri (KDN)," katanya pada sidang media, di Putrajaya, hari ini.

Sementara itu, mengulas dakwaan bahawa penduduk Taman Murni Selayang tidak menerima bahan mentah, Ismail Sabri berkata, isu terbabit selesai kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) sudah menghantar bahan kering untuk mereka.

Pada masa sama, katanya, JKM tidak menghantar bahan basah, namun beliau difahamkan bahawa banyak pihak lain termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang menghantar bekalan.

"Ada yang memerlukan ikan dan sebagainya tetapi ia tidak termasuk dalam bekalan dihantar JKM. Difahamkan, banyak NGO yang hantar, justeru tidak timbul isu.

"Tapi kalau hendak makanan lain, mahu kek misalnya kerana dalam bulan puasa ini, ia tidak dihantar. Namun, barangan asas seperti beras, tidak ada masalah," katanya.

Sebelum ini, KDN telah mewartakan 11 penjara sementara bagi tahanan ingkar PKP setelah mendapat nasihat Pejabat Peguam Negara.

Penjara sementara ini telah mula beroperasi pada 23 April lalu dan Kementerian Kesihatan akan membantu menyediakan petugas kesihatan.