Skip to main
Logo Malaysiakini

'Umno tak terkesan jika wujud sabotaj PN di Johor'

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemuda Umno Johor menegaskan parti itu atau gabungannya BN tidak akan terkesan jika wujud usaha mensabotaj kerjasama parti pemerintah Perikatan Nasional (PN) di Johor, kata ketuanya, Mohd Hairi Mad Shah.

"Sekali lagi ingin (kami) menegaskan sabotaj tidak akan memberikan apa-apa kesan kepada BN di Johor.

"Sebaliknya perbuatan sedemikian hanya akan merugikan pembangkang di negeri Johor termasuklah pihak yang mensabotaj," katanya dalam suatu kenyataan hari ini.

Ketua Pemuda Umno negeri itu berkata demikian sebagai mengulas kenyataan bekas setiausaha Pemuda PH Johor, Azam Mektar yang disiarkan Malaysiakini, semalam. 

Azam (gambar, bawah) dalam kenyataannya mempersoalkan kemungkinan politik Johor akan bergolak dan kemungkinan akan tercipta sejarah menteri besar terpendek selepas pertukaran menteri besar negeri itu ketika PH memerintah sebelum ini.

Bagaimanapun, Mohd Hairi hari ini berkata hubungan Umno dengan PN hanya "untuk menyelamatkan Malaysia kerana kemelut politik yang dicetuskan oleh kelompok tertentu dalam PH."

"Saya percaya rakyat sudah jemu dengan propaganda yang dimainkan oleh anda dan rakan-rakan dalam PH yang masih kecewa bila kehilangan jawatan yang runtuh dicipta sendiri oleh kompenan PH dahulu.

"BN, Umno mahupun Muafakat Nasional (MN) di Johor langsung tidak rugi dan terkesan sebaliknya yang akan terus menerima 'perit' adalah rakyat," katanya.

Rapuh, tapi tolak habuan

Sumber dalaman Bersatu sebelum ini berkata, persefahaman antara pemimpin Bersatu dan Umno dalam PN bukan sahaja dari segi menghormati sesama sendiri tetapi dilihat perlu diterjemahkan dalam bentuk material seperti jawatan dan kedudukan.

Mengulas mengenai isu yang berlaku di peringkat negeri antara kedua-dua parti itu, salah seorang pemimpin Bersatu Johor yang enggan dinamakan berkata, jawatan-jawatan sedia ada dalam negeri itu sepatutnya diagihkan sama rata.

Bekas menteri besar Johor Khaled Nordin pula mengakui rapuhnya gabungan PN di Johor, tetapi menolak "habuan politik" dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya.

Beliau yang juga naib presiden Umno berkata, PN hanya akan kukuh dan berfungsi dengan baik di Johor jika ia mampu menawarkan strategi yang baik bagi merealisasikan potensi negeri itu.

Khaled berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Setiausaha Bersatu Johor Solihan Badri yang meminta parti yang membentuk PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan, dengan membangkitkan parti itu memiliki 11 wakil rakyat di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN).

Sementara itu, Mohd Hairi berkata, kerjasama dalam PN adalah persefahaman untuk membentuk kerajaan baru dan mentadbir Malaysia kerana kegagalan PH.

"Rakyat termasuk di Johor pastinya sudah boleh menilai pemerintahan 60 tahun BN dan pemerintahan 22 bulan PH yang amat jauh bezanya.

"Kita yakin dan percaya, rata-rata rakyat akan memilih kembali pemerintahan terdahulu yang dilemparkan pelbagai fitnah oleh PH untuk memerintah negara," jelasnya lagi.