Skip to main
Logo Malaysiakini

KKM mahu teliti pembukaan ekonomi sebelum cadang buka sektor lain

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan meneliti pembukaan semula sektor ekonomi terlebih dahulu sebelum membuat cadangan lebih lanjut mengenai pembukaan semula sekolah dan kegiatan sosial.

Ketua Pengarah Kesihatan Dr Noor Hisham Abdullah berkata pihaknya akan melihat dalam dua hingga empat minggu akan datang sebelum membuat cadangan berhubung sektor lain selain ekonomi.

"KKM mencadangkan untuk memulakan dengan pembukaan semula sektor ekonomi. Sekolah dan pendidikan kemudian.

"Biarkan kegiatan ekonomi bermula dalam dua atau empat minggu sebelum kita mencadangkan agar sektor sosial dan pendidikan dibuka semula," katanya pada sidang media di Putrajaya, hari ini.

Noor Hisham menjawab pertanyaan tentang sama ada akan membuka semula sekolah dalam masa terdekat selepas kerajaan membenarkan sektor ekonomi kembali beroperasi sepenuhnya.

Mengenai kelonggaran perintah kawalan pergerakan (PKP) di zon hijau, Noor Hisham berkata bahawa pihak berkuasa sedang menyelesaikan prosedur operasi standard (SOP) untuk kawasan tersebut.

KKM telah mengenal pasti zon hijau di negara ini, termasuk yang merupakan zon hijau sejak PKP bermula.

Zon hijau merujuk kawasan yang tiada jangkitan Covid-19.

"Sekarang kita sedang mempertimbangkan bagaimana untuk melaksanakan (peraturan di zon hijau), sebelum kita dapat memulakan (pendekatan) soft landing di daerah tersebut.

"Untuk melakukannya, kita harus memenuhi enam kriteria, yang mana yang paling utama adalah pemberdayaan masyarakat. Tindakan kita di kawasan itu untuk memastikan bahawa komuniti dilindungi (dari Covid-19).

"Kita mesti memastikan SOP lengkap dan dipatuhi. Setakat ini, kita masih meneliti SOP, dan akan memakan masa sekitar satu minggu. Sekiranya ia selesai dan kita berpuas hati, mungkin kita dapat melaksanakannya.

"Setakat ini belum ada keputusan," katanya.