Skip to main
Logo Malaysiakini

‘Jika tahap kepatuhan PKP tinggi, mengapa banyak tangkapan?’

Artikel ini sudah 5 tahun diterbitkan

NGO Lawyer for Liberty (LFL) meluahkan rasa bimbang susulan peningkatan jumlah tangkapan, reman dan hukuman penjara ke atas orang ramai yang ingkar mematuhi perintah kawalan pergerakan (PKP).

“Tindakan itu bertentangan dengan panduan antarabangsa berkenaan penahanan ketika pandemik Covid-19.

“Tujuan PKP, adalah untuk melaksanakan penjarakan sosial dan memutuskan rantaian jangkitan,” kata penyelaras undang-undang LFL Zaid Malek dalam satu kenyataan media hari ini.

Jelasnya, jumlah tangkapan individu yang ingkar PKP di Malaysia amat membimbangkan, iaitu melebihi 20,000 orang setakat ini, walaupun hakikatnya tahap kepatuhan difahamkan sangat tinggi, iaitu sehingga 99 peratus, menurut ketua polis negara.

“Kami amat bimbang dengan dengan kes yang tidak melibatkan tingkah laku jenayah atau perjumpaan besar-besaran, tetapi pelanggaran kecil terhadap PKP yang tidak membahayakan masyarakat.

“Kes tersebut termasuk seorang ibu tunggal yang dihukum penjara 30 hari kerana melanggar PKP di sebuah taman permainan, kerana berhenti untuk bersembang dengan dua individu lain ketika dalam perjalanan pulang ke rumah dari kedai,” katanya.

LFL menyatakan meskipun hukuman penjara tersebut akhirnya ditukar menjadi denda RM1,000 setelah disemak oleh Mahkamah Tinggi, namun si ibu itu telah menjalani hukuman penjara selama lapan hari.

“Dengan menangkap, mendakwa dan menjatuhkan hukuman ke atas seseorang tanpa melihat fakta kes, pelaksanaan PKP berisiko menjadi lebih sukar, menyebabkan trauma dan peningkatan jangkitan dan bukannya mencapai tujuan asalnya.

“Jika pihak berkuasa mahukan kepercayaan dan kerjasama orang awam, ini bukan caranya,” kata Zaid.

LFL turut menggesa konsistensi dalam pelaksanaan, keseragaman dalam layanan serta memfokuskan kepada pelanggaran PKP yang lebih berat.

“Ada situasi di mana nasihat dan amaran lebih memadai dan masih mencapai tujuan untuk melindungi kesihatan orang awam,” katanya.

“Pihak berkuasa harus ingat tujuan PKP ketika menguatkuasakannya kepada orang awam, kebanyakan dari mereka tidak pernah mengetahui tentang sistem keadilan jenayah.

“Penjara dan pusat tahanan yang sesak menjadikannya mustahil bagi tahanan dan kakitangan melaksanakan penjarakan sosial, jadi menahan lebih banyak pesalah yang melakukan pelanggaran kecil akan meningkatkan risiko jangkitan Covid-19,” kata Zaid.