Skip to main
Logo Malaysiakini

Tarawih di masjid Melaka dibenar dengan 4 pegawai tadbir esok

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Hanya empat pegawai masjid dibenar melakukan solat tarawih secara berjemaah selepas solat Isyak di semua masjid di Melaka mulai esok.

Ketua Menteri Sulaiman Md Ali berkata kelonggaran itu melibatkan pengerusi masjid, imam, bilal serta siak.

Katanya semua mereka mesti mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Kementerian Kesihatan.

“Syarat lain yang mesti dipatuhi ialah solat Tarawih hanya lapan rakaat dan ringkas, tidak menggunakan pembesar suara di luar masjid, ada jarak sosial dan semua pegawai tidak mempunyai simptom Covid-19 seperti batuk, sakit tekak, demam dan sesak nafas.

"Borang kaji selidik peribadi akan dibekalkan," katanya dalam kenyataan di Melaka malam ini.

Menurut Sulaiman, kebenaran itu diputuskan setelah kerajaan negeri mengadakan perbincangan bersama Pejabat Mufti dan Jabatan Agama Islam Melaka (Jaim).

Kerajaan negeri turut bersetuju untuk memberi kebenaran operasi kepada mahkamah syariah di Melaka Tengah, Jasin dan Alor Gajah bermula 4 Mei.

Namun, Sulaiman berkata, operasi itu hanya dibenarkan untuk dua hari seminggu bermula 8.00 pagi hingga 12 tengah hari sepanjang tempoh perintah kawalan pergerakan (PKP) fasa keempat sehingga 12 Mei dan ia hanya melibatkan kes terdesak yang memerlukan tindakan segera seperti tuntutan perceraian.

“Pihak mahkamah mempunyai kuasa untuk menentukan kes yang dikategori sebagai kes terdesak untuk diambil tindakan segera dan kelonggaran ini diharap mampu memberi kemudahan kepada semua pihak yang terlibat,” katanya.

- Bernama