Skip to main
Logo Malaysiakini

Isu PN Johor: Pemimpin utama parti perlu campur tangan

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pucuk pimpinan Umno dan Bersatu perlu campur tangan menyelesaikan masalah di peringkat bawahan bagi memastikan kerjasama yang dibentuk dalam Perikatan Nasional (PN) terus kukuh.

Anggota Majis Tertinggi (MT) Umno, Tajuddin Abdul Rahman, berkata meskipun dianggap isu kecil, namun jika gagal ditangani ia boleh membarah dan merosakkan kerjasama kedua-dua parti.

"Kerjasama ini masih baru, ia perlu diurus dengan baik. Kepimpinan parti-parti yang terlibat kena lihat ke bawah, akar umbi ini.

"Jangan kita hanya lihat hubungan di peringkat pemimpin tertinggi saja kerana ada benda yang perlu diuruskan di bawah.

"Pemimpin tertinggi perlu bincang, selaras, turun ke bawah selesaikan, jangan anggap semuanya tiada masalah," katanya kepada Malaysiakini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulasa mengenai kemelut yang berlaku antara Umno dan Bersatu di Johor ketika ini.

Kemelut itu tercetus akibat rasa tidak puas hati Bersatu berhubung lantikan politik dalam agensi kerajaan selepas kerajaan negeri itu bertukar kepada Perikatan Nasional baru-baru ini.

Sudah jumpa MB Johor

Pada 27 April, Setiausaha Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri, dalam satu kenyataannya meminta parti lain yang membentuk kerajaan PN agar tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.

Solihan - merupakan anggota exco kerajaan negeri dan Adun Tenang - juga berkata, penyertaan Bersatu dalam lantikan politik seperti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti menjadi sebahagian daripada kerjasama PN.

Bagaimanapun Pengerusi Bersatu Johor, Mazlan Bujang, hari ini mendakwa yakin bahawa penyelesaian “menang-menang” mampu dicapai.

“Saya sangat yakin dengan kepimpinan Hasni Mohammed sebagai MB, dia seorang yang kompeten.

“Saya (telah) jumpa MB, dia sedang teliti perkara ni dan insya-Allah dalam masa terdekat akan diumumkan win-win situation,” katanya.


Baca 'Jangan ambil mudah kewujudan Bersatu dalam PN Johor'


Bagi Mazlan, perselisihan pendapat dalam parti adalah perkara biasa yang diibaratkannya sebagai asam garam politik.

Dalam pada itu Tajuddin berkata, pemimpin Umno, Bersatu dan PAS yang berada dalam PN perlu melihat permasalahan ini khususnya di peringkat akar umbi.

Katanya, penyelarasan dan penyusunan perlu dilakukan dengan baik dan adil supaya tidak timbul rasa tidak puas hati.

"Saat ini (kerjasama) masih baru, orang ini nak ini, orang itu nak yang ini juga, maka berebut dan sehingga menjadi besar (konflik).

"Jadi, ia perlu diurus dengan baik, agihan jawatan perlu dilakukan secara adil, maka tak timbul soal tak puas hati," katanya lagi.

'Jangan api-apikan perpecahan'

Sementara Ahli Majlis Tertinggi Bersatu, Wan Saiful Wan Jan menyokong pandangan Tajuddin bahawa pemimpin atasan Bersatu dan Umno perlu berbincang segera untuk menamatkan perdebatan mengenai situasi di Johor.

"Perikatan Nasional adalah satu gabungan baru. Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu sendiri hanya meluluskan kemasukan ke dalam Perikatan Nasional pada 23 Februari lalu, iaitu baru sekitar dua bulan lebih sedikit.

"Sudah pasti dalam masa yang singkat, pengurusan gabungan baru ini agak kompleks.

"Jika para pemimpin ikhlas memperjuangkan agenda penyatuan dan bukan hanya mementingkan diri sendiri, seharusnya mereka berusaha memastikan kesatuan, bukan mengapi-apikan ke arah perpecahan," katanya.

Jelas Wan Saiful, cakap-cakap yang seolah-olah sengaja hendak memecahbelahkan gabungan baru itu perlu dihentikan.

"Jangan ada yang menangguk di air keruh sengaja mahu jadi batu api pemecah belah di peringkat dalaman untuk kepentingan peribadi mereka sahaja," katanya.


Dapatkan maklumat terkini dan perincian berkenaan penularan Covid-19 di Malaysia di laman penjejak ini.