Skip to main
Logo Malaysiakini

PKR: Menteri kewangan wakili rakyat atau bank?

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Pemimpin PKR hari ini menyasarkan menteri kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz berhubung perubahan prosedur moratorium pinjaman sewa beli dan pembiayaan islamik berkadar tetap yang diumumkan Bank Negara semalam.

Dalam satu kenyataan, Naib Presidennya, Chang Lih Kang mengecam langkah itu yang disifatkan sebagai 'pusingan-U' dan merupakan penganiayaan kerajaan PN terhadap rakyat.

"Keputusan ini hanya akan membebankan para peminjam dan menguntungkan industri perbankan.

"Menteri Kewangan, Tengku Zafrul Abdul Aziz yang juga merupakan bekas Ketua Pegawai Eksekutif CIMB perlu jelaskan kepada rakyat jelata, dalam proses mencapai keputusan ini.

"Beliau memainkan peranan wakil rakyat atau wakil industri perbankan? Adakah keputusan ini dibuat untuk menjaga kepentingan rakyat atau industri perbankan?" soalnya. 

Beliau berkata demikian berikutan kenyataan Persatuan Bank-Bank Dalam Malaysia (ABM) bahawa bank kini akan mengenakan faedah moratorium atas pinjaman sewa beli.

Menurut kenyataan ABM, peminjam yang mengambil moratorium diberi dua pilihan, sama ada membayar penangguhan ansuran terkumpul enam bulan (April hingga September) bersama dengan ansuran Oktober 2020 tanpa dikenakan faedah tambahan; atau melanjutkan enam bulan tempoh bayaran balik selepas tarikh matang kontrak bersama faedah akan dikenakan.

"Sekiranya menteri tidak dapat memberi penjelasan yang wajar, beliau harus letak jawatan kerana gagal mempertahankan kepentingan rakyat," kata Chang lagi.

Sementara itu, Timbalan Ketua Pemuda Amanah, Shazni Munir berkata peminjam kini perlu memberitahu bank sama ada mereka mahu mengambil moratorium atau sebaliknya.

"Hari Pekerja di musim Covid-19 tidak lagi memberikan makna kegembiraan kepada kaum pekerja. 

"Sudahlah para pekerja ditekan dengan cuti tanpa gaji, hilang punca pendapatan, hari pekerja kali ini pula kerajaan hadiahkan ‘pusingan U’ yang jelas sangat membebankan.

"Dengan penuh hormat bersempena hari yang bermakna ini kami menggesa kerajaan merombak keputusan ini dan mengaplikasikan moratorium tanpa faedah dan caj keuntungan tambahan bagi pembiayaan sewa beli dan pembiayaan Islamik," tegasnya.

[Berita penuh menyusul]