Skip to main
Logo Malaysiakini

ERL mulakan perkhidmatan terhad pada 4 Mei

Artikel ini sudah 4 tahun diterbitkan

Susulan pengumuman Perdana Menteri Muhyiddin Yassin yang membolehkan kebanyakan perniagaan dibuka semula dalam tempoh perintah kawalan pergerakan bersyarat (PKPB), Express Rail Link Sdn Bhd (ERL) akan memperkenalkan jadual perkhidmatan terhad bermula pada 4 Mei.

KLIA Ekspres dan KLIA Transit akan menyediakan perkhidmatan bersama dari jam 6 pagi hingga 11 tengah malam setiap hari, berkuat kuasa 4 Mei.

"Kereta api akan bergerak setiap 20 minit pada waktu puncak pada hari bekerja, dan setiap 30 minit pada luar waktu puncak, hujung minggu dan cuti umum negara," kata ERL dalam satu kenyataan hari ini.

Kenyataan itu menambah, waktu puncak pada bulan Ramadan akan diselaraskan pada jam 4 hingga 6 petang disebabkan kebanyakan pengguna pengangkutan awam pulang awal ke rumah untuk berbuka puasa.

Oleh itu sepanjang bulan Ramadan, ERL akan beroperasi selang 30 minit dari jam 6 hingga 7 pagi,  9 hingga 4 petang, dan 6 petang hingga 11 malam.

Pada waktu puncak ia akan beroperasi selang 20 minit dari jam 7 pagi hingga 9 pagi dan 4 petang hingga 6 petang.

"Pada hujung minggu dan cuti umum kereta api akan beroperasi sepanjang hari dari jam 6 petang hingga 11 malam jangka masa 30 minit.

"Sila ambil perhatian bahawa tidak akan ada perkhidmatan kereta api sebelum 6 pagi dan selepas kereta api terakhir berlepas pada pukul 11 ​​malam," kata ERL.

Masa perjalanan antara KL Sentral dan KLIA mengambil masa 35 minit (KLIA2: 39 min) dan semua pelepasan dan ketibaan di KL Sentral akan melalui Stesen Transit KLIA.

Jadual perkhidmatan terhad ini akan berkuatkuasa selama satu bulan dan  tertakluk kepada semakan semula dan akan diselaraskan sekiranya perlu untuk memenuhi bilangan penumpang yang semakin meningkat.

Jadual baru itu akan diterbitkan lima hari sebelum dikuatkuasakan selepas berunding dan mendapat kelulusan daripada pihak berkuasa yang berkaitan, kata ERL.

Ia juga menyatakan Kementerian Pengangkutan telah meminta pengendali ERL melaksanakan pemeriksaan suhu badan ke atas semua penumpang sebelum membenarkan mereka memasuki stesen.

"Mana-mana penumpang yang mencatatkan suhu badan 38⁰C atau lebih akan ditolak. Di samping itu, semua penumpang dinasihatkan untuk memakai topeng muka pada setiap masa apabila menggunakan perkhidmatan kereta api serta mengekalkan jarak yang selamat antara satu sama lain," katanya.

Untuk jadual kereta api yang lengkap dan perkembangan mengenai langkah-langkah berjaga-jaga, sila layari www.KLIAekspres.com atau Facebook KLIA Ekspres.