Amaran Syed Hamid: Jangan sampai kerajaan hancur
Ahli politik veteran Syed Hamid Albar memberi amaran supaya dakwaan pertembungan Bersatu dan Umno diuruskan dengan baik agar kerajaan Perikatan Nasional (PN) dapat bertahan.
“Perkara paling penting bila kamu menjadi sebahagian daripada kabinet, kamu ada tanggungjawab bersama, kena ada ketaatan bersama.
“Bukan tempat-tempat untuk (bersikap) berpura-pura. Hancur kerajaan nanti,” katanya kepada Malaysiakini pada Khamis.
Pengarah Pemilihan Bersatu berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai dakwaan terdapat pertembungan antara Umno dan Bersatu, khususnya di Johor seperti yang didakwa beberapa pemimpinnya.
Pada 27 April, pemimpin Bersatu Johor, Mohd Solihan Badri mengeluarkan kenyataan meminta parti kerajaan tidak memandang enteng keberadaan mereka dalam gabungan berkenaan.
Solihan, yang merupakan anggota exco kerajaan negeri dan Adun Tenang, juga berkata, penyertaan Bersatu dalam lantikan politik seperti di syarikat berkaitan kerajaan (GLC) mesti menjadi sebahagian daripada kerjasama PN.
Semalam, bekas menteri besar Johor Osman Sapian turut membangkitkan isu pelantikan jawatan antara wakil rakyat Bersatu dan Umno di Johor, yang didakwa diagihkan secara tidak sama rata.
Di peringkat negeri, beliau memberikan beberapa contoh yang menurutnya menunjukkan pemimpin Bersatu dipinggirkan daripada pelantikan ke dalam agensi kerajaan negeri.
Naib Presiden Umno Khaled Nordin mengakui rapuhnya gabungan PN di Johor, namun menolak "habuan politik" dalam bentuk lantikan jawatan sebagai penyelesaiannya.
Bagi bekas menteri besar Johor itu, PN hanya akan kukuh dan berfungsi dengan baik di Johor jika ia mampu menawarkan strategi yang baik bagi merealisasikan potensi negeri itu.
Sementara itu, Syed Hamid yang pernah menjadi menteri di era BN berkata, beliau percaya telah terdapat persetujuan di peringkat negeri untuk mengagihkan jawatan secara adil.
“Jadi, saya rasa ini di peringkat negeri pun masing-masing bersetuju untuk tubuhkan dan agihkan jawatan.
“Saya rasa Bersatu banyak juga berkorban sebab banyak kerajaan negeri di bawah Bersatu sekarang jadi kerajaan,” katanya.
Bagaimanapun, Syed Hamid tidak menolak mengenai dakwaan Umno menggunakan Bersatu sebagai langkah mengukuhkan kedudukan selepas tumbang pada pilihan raya umum (PRU) lalu.
"Umno dulu terkeluar daripada kerajaan. Macam mana dia nak balik dalam kerajaan?
"Mereka (jadi sebahagian yang) buat Langkah Sheraton. Ia membolehkan Umno sekali lagi duduk dalam kerajaan, walaupun dipimpin Bersatu.
"Jadi saya fikir tujuan Umno untuk dapatkan balik kedudukan mereka dalam kerajaan. Mereka berjaya melakukannya," katanya lagi.
Rais: Buat jawatankuasa, bincang
Sementara itu, ahli Strategi Bersatu Rais Hussin menyifatkan pergelutan antara kedua parti tersebut di Johor adalah perkara biasa bagi sebuah pakatan baru dan harus diselesaikan menerusi perbincangan.
Jelasnya, kedua parti tersebut harus membentuk jawatankuasa bagi membincangkan pendapat masing-masing sebelum mengeluarkan sebarang keputusan.
“Saya rasa ketua parti perlu berbincang untuk membentuk satu jawatankuasa jadi semua pendapat boleh didengar dan keputusan dapat capai.
“Bagi saya itu adalah satu cara untuk selesai isu tersebut dan cara untuk bergerak ke hadapan,” katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Bagaimanapun, Rais turut menggesa pemimpin parti supaya berhenti bermain berpolitik dan lebih memfokuskan pada usaha menangani isu ekonomi yang terkesan susulan pandemik Covid-19.
“Semua pemimpin perlu fokus atas apa yang perlu dilakukan, iaitu menyelesaikan isu krisis, yang pertama adalah berdepan dengan pandemik (Covid-19) dan krisis ekonomi.
“[…] buat masa sekarang, berhenti terlalu politicking (berpolitik) dan fokus untuk melihat kepada isu pengangguran,” katanya lagi.
Ada tokoh besar, kata Wan Saiful
Selain itu, anggota Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu Wan Saiful Wan Jan turut menjelaskan bahawa rundingan adalah cara terbaik bagi menyelesaikan pertelingkahan kedua parti berkenaan.
“Bersatu mempunyai tokoh besar di Johor seperti Muhyiddin Yassin sendiri dan bekas menteri besar Osman Sapian.
“Pemimpin Bersatu negeri juga ada dalam exco kerajaan negeri Johor. Mereka akan dapat mencari penyelesaian terbaik dan saya yakin ia akan turut baik untuk Bersatu,” katanya lagi.
Ahli Majlis Tertinggi Bersatu Mohd Redzuan Md Yusof pula menafikan pertembungan antara kedua-dua parti tersebut.
“Tidak benar,” katanya ringkas kepada Malaysiakini.
RM12.50 / bulan
- Akses tanpa had kepada kewartawanan yang memenangi anugerah
- Berikan komen dan kongsi pendapat anda tentang semua artikel kami
- Hadiahkan cerita-cerita menarik kepada rakan-rakan anda
- Potongan cukai